
KUCHING: Sarawak menyambut baik inisiatif syarikat penerbangan yang ingin menambah laluan penerbangan terus ke Kuching susulan inisiatif Batik Air yang membuat penerbangan pertama mereka dari Subang ke Kuching, lewat petang tadi.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penambahan laluan penerbangan dari Subang ke Kuching bakal memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang dari Lembah Klang sekali gus memberi kemudahan tambahan kepada mereka yang mengutamakan lokasi lapangan terbang yang lebih dekat dan mudah diakses.
“Pada masa ini, semua penerbangan adalah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sama ada KLIA1 atau KLIA2, maka penerbangan dari Subang ke Kuching menawarkan satu lagi pilihan kepada penumpang.
“Namun, terdapat penumpang yang tetap memilih untuk terbang dari Subang. Jadi, ini merupakan pilihan yang lebih sesuai untuk mereka. Oleh itu, kewujudan satu lagi pilihan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching sememangnya amat dialu-alukan dan kami berharap akan ada lebih banyak penerbangan ke Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang Batik Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang membuat penerbangan pertama mereka dari Subang terus ke Kuching, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menzahirkan harapan agar Batik Air menjadi syarikat penerbangan pertama menawarkan penerbangan antarabangsa terus dari Sarawak seperti ke China atau Korea.
“Saya meminta Batik Air untuk mempertimbangkan dan turut membantu Sarawak dalam mempromosikan wilayah ini dengan mengadakan penerbangan antarabangsa yang pertama dari Sarawak, iaitu Batik Air terbang ke destinasi antarabangsa contohnya, mereka boleh mengadakan penerbangan ke China atau bahkan ke Korea bergantung kepada jumlah penumpang.
“Namun, sudah tentu mereka boleh memulakan dengan penerbangan ke China, seperti ke Shenzhen atau Guangzhou, atau ke bandar-bandar lain di China. Kami berharap Batik Air akan membantu dan menyokong permintaan kami ini. Mereka akan menjadi syarikat penerbangan pertama yang menawarkan penerbangan antarabangsa terus dari Sarawak,” ujarnya lagi.

Pada masa ini, penerbangan antarabangsa dari Sarawak hanya melibatkan laluan ke Singapura melalui Scoot, serta ke Brunei dan beberapa destinasi lain oleh AirAsia dan Royal Brunei.
Namun, usaha untuk memperluas laluan antarabangsa sedang giat dijalankan oleh kementerian beliau bersama syarikat penerbangan terlibat.
-UKAS