
SINGAPURA: Sarawak menyambut baik cadangan Singapura untuk membuka pejabat konsulatnya di Kuching sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala antara republik itu dengan Malaysia, khususnya di Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata langkah tersebut akan membuka lebih banyak ruang kerjasama melibatkan perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, hubungan ekonomi antara Sarawak dan Singapura telah lama terjalin, dan kewujudan pejabat konsulat itu kelak akan memudahkan pelbagai urusan termasuk mobiliti pekerja, urusan perniagaan dan pelaburan baharu.

“Kita ucap terima kasih kerana hubungan Malaysia-Singapura sangat erat dan Kerajaan Sarawak mengalu-alukan cadangan ini kerana ia akan membawa manfaat besar kepada hubungan dua hala serta meningkatkan lagi peluang kerjasama ekonomi.
“Kita sudah pun mempunyai pejabat dagangan dan pelancongan (STATOS) di sini (Singapura) jadi dengan pembukaan konsulat ini akan membantu hubungan bilateral serta urusan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Mesyuarat Pemimpin Malaysia–Singapura Ke-12 di sini, hari ini.
-Sarawakku