
KUALA LUMPUR, 27 Sept-- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan buku 'Rancangan Malaysia Kedua Belas' (RMK12) selepas membentangkan RMK12 di Bangunan Parlimen hari ini. RMK12 bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19. Berobjektifkan ‘Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), selari komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menerusi rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.
Ismail Sabri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK-12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.
“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.
“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.
Seperti diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.