Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sarawak rumahku: Bapa tunggal pulang ke Miri selepas 20 tahun merantau di Brunei
  • Utara
  • WILAYAH

Sarawak rumahku: Bapa tunggal pulang ke Miri selepas 20 tahun merantau di Brunei

Utusan Sarawak 5 hours ago
BANTU….Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man (kiri) bertemu Philip yang pulang ke Miri selepas 20 tahun bekerja di Brunei bagi memulakan kehidupan baharu bersama empat anaknya.

MIRI: Kehilangan isteri akibat kanser payudara tahap empat tahun lalu menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan seorang lelaki yang kini memikul tanggungjawab membesarkan empat anak, termasuk tiga anak istimewa, seorang diri.

Selepas 20 tahun bekerja di Brunei, Philip mengambil keputusan untuk kembali ke Miri bagi memulakan kehidupan baharu bersama anak-anaknya, meskipun berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan dan sumber pendapatan.

Menurut Philip, sepanjang berada di Brunei, isterinya menjadi tonggak utama keluarga dengan menguruskan anak-anak dan rumah tangga tanpa pernah merungut.

Namun selepas pemergian isterinya, beliau sering dibelenggu kebimbangan mengenai masa depan keluarga, selain perlu mengimbangi tanggungjawab mencari nafkah dan menjaga anak-anak yang masih memerlukan perhatian.

JUAL BURGER…Chiew Choon Man turut membantu Philip membuka perniagaan burger sebagai pendapatan baharu bagi menyara kehidupan bersama empat anaknya.

“Pendapatan saya di Brunei selepas ditukar kepada ringgit Malaysia hanya sekitar RM2,000 sebulan dan saya akan bersara tahun depan. Saya mahu pulang ke Miri, tetapi tidak tahu kerja apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Nasib Philip kemudian mendapat perhatian Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang tampil menghulurkan bantuan bagi membolehkan beliau memulakan kehidupan baharu di Sarawak.

Menurut Chiew, beliau telah menghantar pegawainya ke Brunei untuk bertemu Philip dan menilai sendiri keadaan keluarga berkenaan.

“Saya melihat kesungguhannya untuk pulang ke Sarawak dan membesarkan anak-anaknya di sini.

“Justeru, saya mencadangkan beliau membuka gerai burger sebagai sumber pendapatan baharu.

“Prinsip saya mudah, memberi peluang menjana pendapatan adalah lebih baik daripada sekadar memberi bantuan sekali sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Selain membantu membuka gerai burger, Chiew turut mendapatkan sebuah rumah sewa untuk Philip dan anak-anaknya di Miri dengan kadar RM700 sebulan, serta menanggung bayaran sewa bagi empat bulan pertama menggunakan dana peribadinya.

Beliau berkata bantuan itu bertujuan memberi ruang kepada keluarga berkenaan menyesuaikan diri dan bangkit semula tanpa terlalu terbeban dengan masalah kewangan.

Kini, perniagaan burger yang diusahakan Philip mula menunjukkan perkembangan positif dengan potensi pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Bagi Philip, bantuan yang diterima bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan keluarga, malah memberi sinar harapan baharu selepas melalui detik sukar kehilangan insan tersayang.

Selepas dua dekad merantau, beliau percaya tiada tempat yang lebih bermakna untuk membina masa depan keluarga selain di tanah kelahirannya sendiri.

“Sarawak tetap rumah saya. Di sinilah saya mahu membesarkan anak-anak dan memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Keselamatan dan kebersihan sungai tanggungjawab bersama
Next: Ngiling Bidai perkukuh perpaduan, lambang kesyukuran komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.