
KUCHING: Sarawak perlu menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti potensi kewujudan hidrogen semula jadi di kawasan yang mempunyai sumber gas, termasuk di Lawas dan Gedong.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perkara itu penting kerana terdapat kemungkinan wujudnya kaitan antara gas asli, metana dan hidrogen di kawasan berkenaan, namun ia perlu disahkan melalui kajian saintifik.
“Gas asli terbentuk melalui proses semula jadi yang melibatkan bahan organik di dalam takungan tertentu di bawah tanah.
“Dalam kawasan itu ada takungan, dalam takungan itu ada air dan karbon, dalam itu ada bahan organik. Jadi berlaku proses pemampatan.
“Hidrogen yang lebih ringan daripada karbon membolehkan kewujudan gas asli dan juga hidrogen semula jadi di bawah permukaan bumi dalam keadaan isipadu tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Pelancaran Kompleks SWG Green di Demak Laut, hari ini.
Beliau mengulas lanjut bahawa terdapat kemungkinan kawasan di Sarawak seperti Lawas dan Gedong mempunyai sumber gas, namun perkara itu masih memerlukan pengesahan melalui kajian saintifik yang lebih terperinci.
“Jadi apa yang kita perlukan ialah saintis untuk pergi ke sana. Pada masa ini, saya bercakap berdasarkan pengetahuan yang saya ada. Jadi kita perlu menjalankan kajian mengenai perkara ini.
“Kajian lanjut amat penting bagi mendapatkan bukti yang lebih jelas mengenai potensi hidrogen semula jadi di negeri ini. Kalau ada metana, ada kemungkinan ada hidrogen,” ujarnya.
Terdahulu, beliau turut menjelaskan bahawa dunia kini sedang beralih daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga hijau dan rendah karbon berikutan isu pelepasan karbon yang menyumbang kepada perubahan iklim global.
Beliau berkata Sarawak mempunyai kelebihan kerana memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro serta gas asli yang digunakan bagi penjanaan tenaga rendah karbon, sekali gus meletakkan Sarawak dalam kategori electro-petro state.
Oleh Masrin Affirah