KUCHING: Sarawak perlu berani mengembangkan pasarannya ke tahap lebih besar, terutama di Asia, yang menempatkan separuh daripada penduduk dunia bagi meningkatkan ekonominya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak amat bertuah kerana penerbangan ke pasaran Asia, seperti Asia Tenggara dan juga rantau Asia lain, biasanya hanya mengambil 5 jam.
“Hampir separuh daripada populasi hanya tinggal lima jam penerbangan.
“Ini adalah pasaran yang perlu kita pecah masuk.
Kita mesti mempunyai semangat yang kuat untuk menembusi pasaran ini dengan separuh daripada penduduk. Saya percaya kita mempunyai kelebihan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Ulang Tahun ke-10 Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Abang Johari pada masa sama menegaskan bahawa Sarawak pada masa ini memerlukan tenaga kerj yang mahir dalam teknologi baru muncul.
Justeru, beliau berharap CENTEXS dapat melatih anak muda Sarawak yang mempunyai kepakaran untuk menerokai pasaran besar ini.
“Kita memerlukan anak muda yang mempunyai kemahiran tinggi.
“Justeru, saya berharap CENTEXS akan dapat memupuk anak muda yang pintar di Sarawak yang boleh menyesuaikan diri dengan teknologi era baharu dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujarnya.
Pada kemuncak majlis makan malam itu, Abang Johari turut menyampaikan anugerah kepada 14 pemenang.
Tetamu jemputan turut dihiburkan dengan persembahan artis dari Indonesia, Hendri Rotinsulu dan artis tempatan Dayang Nurfaizah selain Fattah Amin, pelakon terkenal yang dijemput khas sebagai tetamu istimewa.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta tetamu kehormat yang lain.