PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara menyeluruh bagi melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan negeri berasaskan ekonomi berteknologi tinggi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan bakat STEM perlu dipupuk sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Menurutnya, Sarawak kini menerajui pelaksanaan penuh Program Dwibahasa (DLP), membolehkan murid mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai persediaan menghadapi dunia yang semakin dipacu ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi.
“Kerajaan Sarawak juga memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang STEM.

“Melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), pelajar Sarawak yang layak mengikuti pengajian ijazah pertama di institusi milik kerajaan negeri akan menikmati pembiayaan penuh yuran pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Sains Negara (MSN) Zon Sarawak 2026 di Pusat Sains Sarawak, hari ini.
Roland berkata, pembukaan Pusat Sains Sarawak menjadi satu pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh literasi STEM, meningkatkan kompetensi dalam bidang berkenaan serta menyemarakkan minat masyarakat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai program bagi memperkukuh pembangunan bakat STEM, termasuk STEM Trailblazers, STEM Catalysts, penyediaan komputer kepada sekolah, penambahbaikan capaian internet di kawasan luar bandar serta Geran BrightSparx SRDC.
Katanya, pendidikan sains tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar, sebaliknya perlu dibawa terus kepada pelajar di kawasan luar bandar agar mereka turut mendapat peluang yang sama untuk meneroka bidang STEM.

Sehubungan itu, selepas pelancaran di Kuching, MSN Zon Sarawak 2026 akan diteruskan menerusi Karnival Jelajah STEM yang digabungkan dengan program STEM Catalysts ke sekolah-sekolah di Meradong, Bintulu dan Belaga dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Beliau berkata, sambutan MSN bersama program STEM Trailblazers di Kuching, Miri dan Sibu serta jelajah STEM di Meradong, Bintulu dan Belaga dijangka menarik penyertaan lebih 10,000 peserta, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar luar bandar.
Dalam pada itu, beliau berkata, tema MSN Zon Sarawak 2026 yang memfokuskan kepada advokasi tenaga nuklear selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear secara selamat, aman dan bertanggungjawab.
Menurutnya, usaha MOSTI dalam mempromosikan kesedaran mengenai tenaga nuklear turut melengkapi Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak yang mempunyai matlamat sama untuk membangunkan sektor tenaga bersih, maju dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata, aspirasi itu hanya mampu direalisasikan melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selain sokongan institusi pendidikan, industri serta komuniti.
Beliau turut menggesa golongan pelajar agar terus berani meneroka ilmu, berinovasi dan memanfaatkan segala peluang yang disediakan bagi menjadi pemangkin kepada pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Norman B





