KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melancarkan ’Inisiatif Pembangunan Bakat AI’ sebagai usaha memupuk tenaga kerja mahir yang dilengkapi dengan kecekapan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan permintaan industri masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memanfaatkan AI sebagai pemacu asas transformasi digital merentas pelbagai sektor.
“Selain itu, kerajaan Sarawak sedang membentuk Unit AI dalam perkhidmatan awam dan membangunkan pusat data AI untuk meningkatkan keupayaan.
”Kami akan bekerjasama rapat dengan pakar industri, ahli akademik, pihak berkuasa persekutuan dan badan antarabangsa bagi memastikan sumbangan bermakna kepada perjalanan transformasi AI Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata Sarawak juga akan menggunakan teknologi AI dalam pengurusan sisa buangan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah dan menghasilkan produk baharu daripada barang terbuang.
Sehubungan itu, katanya, Sarawak amat mengalu-alukan kerjasama dengan negara seperti Korea Selatan dan Jepun, pemimpin dalam perkara ini, untuk bersama-sama membangunkan ekonomi pekeliling di negeri ini.
”Sarawak juga sedang meneroka cara untuk menukar sisa organik daripada pengeluaran pertanian kepada tenaga.
”Dengan memanfaatkan pencernaan anaerobik dan penukaran biojisim, kami menyasarkan untuk mengurangkan sisa tapak pelupusan sambil menjana tenaga boleh diperbaharui untuk komuniti tempatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, semua inisiatif AI memerlukan data kerana tanpanya ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan.
Berikutan itu, kerajaan Sarawak membina ekosistem data yang mantap menerusi Pusat Operasi Bersepadu Sarawak (SIOC) dan platform Data Terbuka bagi memanfaatkan data yang pelbagai untuk aplikasi AI merentasi pelbagai sektor.
Oleh RYNNA SHA’ERRA