
PETRA JAYA: Dalam menghadapi realiti sistem kesihatan yang semakin terhimpit, kerajaan Sarawak kini memperjuangkan kuasa autonomi dalam bidang kesihatan sebagai langkah strategik jangka panjang, demi memastikan keupayaan negeri ini untuk mengurus sendiri pengambilan dan penempatan doktor secara lebih efektif, mengikut keperluan setempat yang kian meruncing.
Krisis kekurangan tenaga perubatan di Sarawak kini mencapai tahap yang amat menggentarkan apabila jumlah doktor yang berkhidmat di negeri ini masih belum mencecah angka 4,000 orang.
Angka ini menunjukkan jurang yang besar berbanding keperluan sebenar seramai 6,000 orang seperti yang digariskan dalam piawaian kebangsaan.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menyifatkan situasi tersebut sebagai satu kecemasan kesihatan awam yang tidak boleh dipandang enteng dan mesti ditangani dengan segera.

“Sebahagian besar doktor di Sarawak adalah dari Semenanjung Malaysia. Namun pendekatan ini tidak mampan untuk jangka masa panjang. Kita perlu membina sistem sendiri yang mampu menampung keperluan negeri,” tegas beliau ketika ditemui media semasa Program Semurni Kasih Keluarga @ LPPKN Sarawak 2025 di Pusat Keluarga LPPKN Sarawak, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hanya mampu melahirkan sekitar 150 graduan perubatan setiap tahun.
Walaupun kesemua graduan tersebut memilih untuk kekal berkhidmat di negeri sendiri, Sarawak masih memerlukan lebih satu dekad untuk merapatkan jurang sedia ada.
Apa yang lebih membimbangkan, tambah beliau, ialah trend penghijrahan graduan perubatan tempatan ke luar negara demi mengejar peluang latihan kepakaran dan imbuhan yang lebih menarik.
“Masalah utama bukan hanya pada bilangan doktor yang dihasilkan, tetapi bagaimana kita mampu mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif agar mereka mahu kekal dan menyumbang di sini. Luar negara menawarkan kemudahan, gaji dan peluang kerjaya yang jauh lebih kompetitif,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak-anak Sarawak yang kini berada di perantauan sama ada bekerja mahupun menuntut ilmu agar mempertimbangkan untuk kembali ke tanah air dan bersama membina masa depan negeri.
“Walaupun pulangan kewangan di luar negara mungkin lebih tinggi, namun berkhidmat di tanah tumpah darah sendiri membawa makna yang jauh lebih besar. Rakyat kita sangat memerlukan anda,” katanya penuh harapan.
Sebagai inisiatif tambahan, Sarawak turut meneroka kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh landskap pendidikan perubatannya.
Antara usaha yang sedang digerakkan ialah penubuhan sebuah sekolah perubatan baharu melalui kerjasama bersama Fudan University, China yang merupakan institusi perubatan tersohor dan telah diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Usaha ini dilihat mampu melonjakkan kapasiti latihan doktor tempatan secara signifikan sekali gus menyumbang ke arah pembinaan sistem kesihatan yang lebih mapan dan lestari untuk generasi akan datang.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman serta beberapa kenamaan lain. – UKAS