
SEOUL: Sarawak terus mempergiat usaha menarik pelaburan asing berimpak tinggi apabila meneroka kerjasama strategik dengan pemain utama industri semikonduktor Korea Selatan bagi memperkukuh ekosistem teknologi tinggi negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mengadakan perbincangan dengan Persatuan Industri Semikonduktor Korea (KSIA) di Pangyo Tech Park berhubung potensi kerjasama dalam industri semikonduktor serta peluang akses ke pasaran ASEAN melalui Sarawak.
“Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Sarawak sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi yang kompetitif di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut mengadakan pertemuan dengan InterVest Co., Ltd., antara firma modal teroka terkemuka di Korea Selatan, bagi meneroka peluang pelaburan dalam pembangunan ekosistem semikonduktor Sarawak.
Pertemuan itu turut disertai syarikat portfolio InterVest iaitu Mobilint dan Soteria yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri berasaskan teknologi dan inovasi di negeri ini.
Selain sektor semikonduktor, Awang Tengah turut mengadakan perbincangan dengan sekumpulan pelabur mengenai potensi pembangunan perniagaan dalam rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV) di Sarawak.
Usaha tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan pelaburan bernilai tinggi bagi mencapai status wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.