Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Sarawak masuk fasa baharu pembangunan industri acara perniagaan di IMEX Frankfurt 2026
  • BISNES

Sarawak masuk fasa baharu pembangunan industri acara perniagaan di IMEX Frankfurt 2026

Utusan Sarawak 4 hours ago
DELEGASI Sarawak bergambar sempena penyertaan Pavilion Sarawak pada IMEX Frankfurt 2026 di Messe Frankfurt, Jerman, baru-baru ini.

KUCHING: Sarawak memasuki fasa baharu pembangunan industri acara perniagaan apabila kembali menyertai IMEX Frankfurt 2026 buat tahun keempat berturut-turut dengan memberi fokus kepada pembangunan strategik dan manfaat jangka panjang kepada negeri.

Menurut kenyataan Legacy Sarawak, penyertaan Sarawak kali ini menandakan peralihan daripada sekadar mempromosikan destinasi kepada usaha membangunkan industri acara perniagaan yang mampu menjana impak berterusan kepada ekonomi, komuniti dan pembangunan negeri.

Katanya, pendekatan tersebut disokong melalui pelaburan besar dalam infrastruktur dan keterhubungan termasuk peluasan Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK2) serta pengenalan syarikat penerbangan serantau milik Sarawak, AirBorneo.

“BCCK2 yang dijangka siap pada 2028 bakal meningkatkan kapasiti Sarawak untuk menganjurkan konvensyen dan pameran antarabangsa berskala besar.

“Dalam masa sama, AirBorneo dan pertumbuhan jenama hotel antarabangsa dijangka memperkukuh aksesibiliti serantau selain meningkatkan keseluruhan ekosistem acara perniagaan Sarawak.

“Bertemakan ‘Mendorong Impak Bersama, penyertaan Sarawak di IMEX Frankfurt turut mencerminkan komitmen negeri terhadap kerjasama strategik, kelestarian, inovasi dan pembangunan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Business Events Sarawak (BESarawak) yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, kehadiran Sarawak di IMEX Frankfurt kini bukan lagi sekadar untuk meningkatkan keterlihatan destinasi.

“Fokus kami hari ini bukan lagi sekadar mempromosikan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan, tetapi bagaimana setiap acara dapat meninggalkan kesan jangka panjang kepada ekonomi, industri dan komuniti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Beliau berkata, Sarawak kini berkembang daripada sekadar destinasi tuan rumah kepada rakan strategik destinasi yang bekerjasama dengan penganjur bagi memaksimumkan nilai serta manfaat jangka panjang sesuatu acara.

Menurutnya, pendekatan tersebut termasuk menyokong inisiatif kelestarian, mengukur impak acara selain mewujudkan peluang pelaburan, inovasi dan pertumbuhan sektor ekonomi yang lebih luas.

Dalam perkembangan sama, BESarawak turut memperkenalkan pendekatan baharu bagi mesyuarat korporat dan pelancongan insentif korporat dikenali sebagai ‘Keajaiban Legasi’

Inisiatif tersebut dibangunkan berasaskan elemen budaya, pengembaraan, alam semula jadi, gastronomi, kesejahteraan dan nilai kemanusiaan bagi menawarkan pengalaman lebih bermakna kepada delegasi korporat.

Melalui pendekatan itu, delegasi bukan sahaja menghadiri acara perniagaan tetapi turut didedahkan dengan warisan budaya, komuniti tempatan dan amalan pelancongan bertanggungjawab di Sarawak.

Sarawak turut memperkukuh ekosistem sokongannya menerusi Program Mobiliti Akademik (AMP) yang menghubungkan universiti, pemain industri dan rakan antarabangsa melalui lawatan teknikal, pertukaran pembelajaran serta perkongsian ilmu selaras dengan sektor keutamaan negeri.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Jason Tan Chin Foo berkata, inisiatif seperti AMP menunjukkan bagaimana Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai ibu kota legasi acara perniagaan menerusi pelaburan dalam infrastruktur fizikal dan bukan fizikal.

Katanya, pendekatan tersebut juga membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan jangka panjang negeri.

IMEX Frankfurt 2026 berlangsung dari 19 hingga 21 Mei di Messe Frankfurt dan merupakan antara pameran perdagangan acara perniagaan terbesar dunia yang menghimpunkan perancang mesyuarat global, pemimpin persatuan, biro konvensyen dan pemain industri dari seluruh dunia.

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka tinggi
Next: Perdagangan Malaysia catat rekod bersejarah RM1.127 trilion bagi tempoh Januari-April 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.