KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang untuk melakukan penstrukturan semula ekonomi dalam pengurusan aset di negeri ini bagi menjadikan ekonomi lebih makmur dan tangkas pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha tersebut penting bagi memastikan kaedah pengurusan aset di negeri ini lebih profesional dan telus.
”Kita merancang untuk mewujudkan sistem pengurusan aset negeri yang disatukan seperti Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat yang diilhamkan hasil model Norway.
”Saya akan mengumumkan perkara ini nanti, tetapi saya telah memanggil beberapa pihak untuk mengkaji perkara ini.
”Matlamat pelaksanaan usaha ini adalah untuk mempunyai aset negara yang disatukan, supaya kita boleh bekerjasama dengan sektor swasta. Namun, kerajaan mesti mempunyai cara sendiri dalam menguruskan aset ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) ke-26 di Dewan Sa’ati, Ibu Pejabat SUPP, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata perkara ini akan bermodelkan kepada pengurusan aset oleh pihak Singapura yang mempunyai entiti seperti Temasek Holdings (Private) Limited dan GIC Private Limited.
”Sehubungan itu, meskipun bermodelkan aset yang disatukan seperti Singapura, pengurusan aset Sarawak juga akan diubah mengikut acuan tersendiri termasuk dana berdaulat yang bermodelkan kepada Norway.
”Sehubungan itu, tiada siapa yang boleh menyentuh dana berdaulat untuk 20 tahun yang akan datang termasuk kerajaan yang memerintah pada masa hadapan.
”Selain itu, dana kekayaan berdaulat kita hanya akan dilapor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan kepada saya yang mana laporan yang telus akan disediakan supaya rakyat juga tahu bagaimana kita menguruskan dana untuk masa depan Sarawak,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA