YOKOHAMA: Kerajaan Sarawak bersama ENEOS Corporation (ENEOS) terus memperkasakan kerjasama bagi pembangunan bersama rangkaian pengeluaran hidrogen bersih yang kompetitif dalam bentuk ‘methylcyclohexane’ (MCH).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan bersama dalam rantaian bekalan hidrogen dalam bentuk MCH ini dijangka dapat menurunkan kos pengeluaran hidrogen.
Menurutnya, menerusi projek Hornbill yang dijalankan antara Sarawak dan Jepun, hidrogen akan ditukarkan dari bentuk gas asal kepada cecair bagi membolehkan penghantaran dilakukan dalam jumlah lebih besar ke negara berkenaan.
“Sekarang kita ada satu projek Hornbill di antara Jepun dengan kita (Sarawak). Jadi proses pengeluaran hidrogen di Sarawak akan mengeluarkan MCH.
“MCH ini akan dibawa terus ke negara Jepun untuk kegunaan industri di Jepun. Ia mungkin dapat menurunkan kos pengeluaran hidrogen dan ini sudah tentu dapat memberikan manfaat kepada kita sebagai pengeluar hidrogen dan juga kepada pasaran termasuk bukan sahaja Jepun, mungkin industri-industri yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ENEOS Central Technical Research Laboratory di Yokohama hari ini.
Abang Johari menambah, menerusi pengembangan inovasi teknologi itu, ia sekali gus meningkatkan pengeluaran MCH dalam skala besar.
“Sekarang ini, kita khususkan kepada proses pengeluaran hidrogen, menerusi MCH, terus ke loji dan ini adalah satu teknologi baharu.
“Pada mulanya, kita telah mengunjurkan untuk menghasilkan 240,000 tan hidrogen menjelang 2028 hingga 2029. Sebenarnya, Jepun mempunyai dua kajian, satunya di Brisbane, tetapi ia menggunakan solar dan di Sarawak pula mereka menggunakan kuasa hidro untuk menghasilkan hidrogen.
“Mula-mula kita hendak mengeluarkan hidrogen dan diproseskan di Jepun, tetapi sekarang ada teknologi MCH, kita proseskan terus di Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, sebagai sebuah syarikat yang membekalkan 20 peratus daripada tenaga utama Jepun, ENEOS berhasrat menjadikan tenaga generasi seterusnya seperti hidrogen, bahan api sintetik, dan biofuel sebagai ‘norma masa depan’ bagi mencapai masyarakat neutral karbon.
ENEOS menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan teknologi digital untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil, merealisasikan masyarakat neutral karbon dan mencipta bahan inovatif baharu.
Mengiringi Abang Johari adalah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut mengiringi rombongan kerajaan Sarawak ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Sarawak. – EDISI UKAS