KUCHING: Sarawak mencadangkan supaya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) diadakan di negeri ini tahun depan.
Saranan itu dilontarkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri – Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada perasmian Jelajah Halal Malaysia 2022 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai saranan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Hairol Ariffien Sahari berkata, pihak menyokong dan bersetuju.
“MIHAS adalah satu program yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan usaha sama HDC.
“Saya akan bincang kan perkara ini dengan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE.
” Saya yakin Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk mencari kaedah bagi merealisasikan cadangan yang dilontarkan oleh Datuk Sharifah Hasidah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri di sini hari ini.
MIHAS adalah sebuah pasaran yang teguh untuk pemain industri halal antarabangsa dan tempatan bagi merebut peluang melangkaui makanan Halal termasuk farmaseutikal halal, peranti perubatan, kewangan, fesyen sederhana, penjagaan diri dan kosmetik, teknologi hijau dan juga pelancongan mesra Muslim.
Hairol juga menjelaskan dalam sidang media sejurus selesai perasmian, eksport produk halal negara telah meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020.
Sehingga Jun tahun ini katanya, ia telah pun meningkat lebih 60 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
“Sekiranya momentum ini kekal, kita menjangkakan nilai eksport produk halal ini akan mencapai RM42 bilion, iaitu RM2 bilion lebih baik daripada apa yang dicapai sebelum Covid-19 melanda.
“Lima destinasi eksport utama produk halal ini ialah China, Singapura Jepun, Indonesia dan Korea Selatan,” katanya.
Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Sarawak berlangsung dari 8 hingga 10 Novemberi 2022 di Kuching yang dianjur HDC bertujuan untuk memberi manfaat kepada usahawan tempatan yang mencari peluang perniagaan dalam pasaran halal yang kini giat berkembang.
Oleh SHAHRUL QAIZAT