KUCHING: Kejayaan Sarawak dalam menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dianggap sebagai penanda aras baharu bagi penganjuran acara sukan di peringkat kebangsaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini turut diakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan standard tinggi ditetapkan oleh Sarawak dalam penganjuran SUKMA XXI sebagai sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain.
“Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa sukar untuk negeri lain menyamai standard yang dicapai oleh Sarawak dalam SUKMA kali ini.
“Jadi, kita jadikan ia sebagai penanda aras, dan mungkin pihak lain terpaksalah berusaha lebih keras untuk menyamai atau menjangkau standard ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengulas tentang kejayaan Sarawak yang bukan sahaja merangkul gelaran juara keseluruhan, tetapi juga memperlihatkan kemajuan dari aspek penganjuran, persediaan teliti, dan pelaksanaan yang lancar.
“Persiapan kita sangat rapi, dan sepanjang temasya itu, saya tidak melihat sebarang kelemahan yang ketara,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan SUKMA kali ini.
Beliau menegaskan, pelaburan kerajaan dalam bidang sukan adalah strategi penting untuk membina keyakinan diri, daya tahan, dan semangat anak muda dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Pelaburan ini adalah kritikal untuk membimbing generasi muda, kerana sukan bukan sahaja mengajar daya tahan tetapi juga keperluan bekerja keras untuk mencapai matlamat,” jelasnya lagi.
Tambahnya, penganjuran SUKMA di Sarawak menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat, dengan semangat kebersamaan yang membara dipamerkan melalui gabungan kepakaran dan kerjasama antara semua pihak yang terlibat.
“Kejayaan cemerlang ini meletakkan Sarawak sebagai negeri rujukan bagi penganjuran sukan di Malaysia, memperkukuh reputasinya sebagai penganjur acara bertaraf tinggi yang mampu dilaksanakan dengan penuh kecemerlangan,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan pelancaran buku coffee table ‘Road To Glory SUKMA XXI Sarawak 2024’.
Beliau kemudiannya menyampaikan cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada 25 jawatankuasa yang berperanan penting dalam menjayakan penganjuran SUKMA Sarawak.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr. Ripin Lamat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee. – EDISI UKAS