
SEMATAN: Sarawak kini melangkah lebih jauh dalam usaha mencapai pelepasan sifar bersih dengan penguatkuasaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023, yang dijangka memperkukuh kawalan terhadap pelepasan gas rumah hijau di negeri ini.
Pengawal Kualiti Alam Sekitar, Datuk Jack Liam, berkata Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana ordinan berkenaan yang menjadi asas kepada pengurusan pelepasan karbon secara sistematik dan berasaskan sains.
Katanya, dua peraturan sokongan di bawah ordinan itu turut akan dikuatkuasakan iaitu Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2025 pada 1 Mei 2025, serta Peraturan Sekatan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2025.
“Penguatkuasaan ordinan ini menyasarkan sektor minyak, gas dan tenaga sebagai permulaan dengan harapan pelepasan gas rumah hijau dapat dikurangkan, sekali gus menyokong Sarawak khususnya dan Malaysia amnya mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Sarawak 2025 di sebuah hotel terkemuka di Sematan, hari ini.
Menurut Datuk Jack, pelaksanaan ordinan itu turut disokong oleh pembangunan Sistem Pengurusan Gas Rumah Hijau (GHG-MS) yang dibangunkan NREB bersama SAINS bagi memudahkan permohonan, pelaporan serta analisis data pelepasan.
“Data dan maklumat daripada laporan pelepasan industri 2023 dan 2024 kini sedang digunakan oleh Bank Dunia dalam kajian ‘Pelan Sifar Bersih dan Karbon Sarawak’ serta kajian ‘Levi dan Penetapan Harga Karbon Sarawak’,” jelasnya.
Beliau menambah, NREB turut menyediakan Garis Panduan Pelaporan dan Pengesahan Pelepasan Gas Rumah Hijau sejak Julai 2024, manakala dua lagi panduan baharu, iaitu Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah serta Kawalan Pembakaran dan Pelepasan Gas, kini sedang dimuktamadkan.
Dalam pada itu, Datu Jack berkata, usaha memperkukuh kesedaran awam terhadap alam sekitar turut dipergiat melalui penubuhan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) di sekolah seluruh negeri.
“Sejak diluluskan peruntukan sebanyak RM13.7 juta oleh Premier tahun lalu, sebanyak 197 sekolah baharu telah menubuhkan Kelab PALS, menjadikan jumlah keseluruhan kini 675 sekolah di seluruh Sarawak.
“Kami juga telah menyemak semula sasaran dan menetapkan matlamat baharu untuk menubuhkan Kelab PALS di semua sekolah menjelang 2027, iaitu tiga tahun lebih awal daripada sasaran asal,” ujarnya.
Bagi memperkukuh sokongan sektor swasta terhadap pendidikan alam sekitar, NREB turut menubuhkan Tabung Pendidikan Alam Sekitar, yang menjadi platform kepada badan korporat menyumbang kepada inisiatif kesedaran awam.
“Setakat ini, tabung berkenaan menerima sumbangan berjumlah RM120,000 daripada lima syarikat termasuk Press Metal (Bintulu) Sdn. Bhd., Tecktonic & Sons Holdings Sdn. Bhd., Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd., DNS Waste Management Sdn. Bhd. dan Thian Sheng Automobile & Services Sdn. Bhd.,” katanya.
Selain itu, NREB turut melaksanakan pelbagai inisiatif hijau termasuk Kempen Pengumpulan Sisa Elektronik (e-Waste) dan Program Kitar Semula Tayar Terpakai, yang masing-masing telah mengumpul 64,000 kilogram sisa elektronik sejak 2024 dan 117,268 tan metrik tayar sejak 2013.
Oleh Shahrul Qaizat