SINGAPURA: Sarawak berpotensi besar dalam kuasa hidro dengan kapasiti boleh menjana sehingga 20,000 megawat (MW).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak boleh menjadi nadi penggerak kuasa hidro di ASEAN.
Bagaimanapun katanya, Sarawak mengecilkan tapak janakuasa hidro meskipun mempunyai kapasiti yang tinggi.
“Kami mengecilkan tapak janakuasa hidro yang paling berpotensi kepada 12 lokasi dengan potensi (menjana) 8,000MW.
“Kami telah membangunkan (projek hidro) dengan (kapasiti) 3,452MW, manakala 1,285MW lagi dibangunkan menjelang 2027,” katanya Beliau berucap pada Sidang Kemuncak Tenaga Singapura sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) di Marina Bay Sands, Singapura, hari ini.
Abang Johari berkata, projek hidro pertama di Sarawak bermula pada 1981 iaitu Loji Hidroelektrik Batang Ai, sekali gus menjadi perintis ke arah tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan.
“Ini adalah langkah pertama ke arah membina sistem jana kuasa yang lebih moden dan Grid Kuasa Negeri untuk Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata, bagi memenuhi komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, Sarawak merangka dan melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS).
Katanya, bagi mengembangkan pelan tindakan ekonomi strategik awal di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilancarkan pada 2008.
“Campuran penjanaan kami telah berjaya beralih daripada 92 peratus bahan api fosil pada 2010 kepada 70 peratus kuasa hidro menjelang 2015, dilengkapi dengan sumber terma untuk keselamatan tenaga.
“Anjakan ini telah menyahkarbonkan intensiti pelepasan grid kami sebanyak 72 peratus antara 2010 dan 2020 dan terus memacu pertumbuhan sosioekonomi kami yang mampan pada masa kini.
“Malah kuasa hidro boleh diperbaharui kami akan menjadi antara enjin utama untuk mencapai matlamat iklim peralihan daripada penjanaan elektrik yang menghasilkan CO2 kepada penjanaan bebas karbon,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak juga telah bekerjasama dengan pemain global dari Korea Selatan untuk membangunkan loji hidrogen dan amonia mesra alam di Bintulu.
“Setelah siap, kilang itu akan menghasilkan 7,000 tan metrik hidrogen sebagai tambahan kepada pelbagai bentuk amonia untuk industri tempatan dan Korea Selatan.
“Sarawak akan menyelaraskan diri dan secara kolektif komited untuk mengimbangi manfaat kepada manusia dan planet dalam mengejar kemakmuran bersama.
“Hanya dengan mengambil kira ketiga-tiga aspek kemampanan tenaga, kebolehpercayaan dan kemampuan, negeri ini akan dapat memenuhi matlamat kemampanan dan daya tahan tenaga untuk masa depan yang makmur dan saksama, inklusif dari segi sosial,” katanya.