KUCHING: Kerajaan Sarawak komited membina 20,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sejajar usaha memastikan pembangunan perumahan terus memenuhi keperluan rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor hartanah memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti, menyokong kegiatan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menurutnya, seiring Sarawak terus berkembang dan menarik pelaburan baharu, industri hartanah perlu mengutamakan pembangunan bertanggungjawab, inovasi dan kelestarian.

“Seiring Sarawak terus berkembang dan menarik pelaburan baharu, kita mengharapkan industri menerima pembangunan bertanggungjawab, inovasi dan kelestarian supaya kediaman, ruang komersial serta komuniti yang dibangunkan hari ini terus memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2026 di Hotel Voco Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata, bagi memastikan pelaksanaan RMK13 termasuk komitmen membina 20,000 unit rumah mampu milik, kerajaan Sarawak sedang memperkemas jentera pelaksanaan menerusi pendekatan bersepadu di bawah sistem Pengurusan Berasaskan Hasil Bersepadu (IRBM).

“Kerajaan Sarawak bukan sekadar memberitahu pemaju hartanah swasta bahawa mereka perlu melakukan sesuatu.
“Sebaliknya, kita memilih untuk memimpin melalui teladan dengan menetapkan piawaian yang telus untuk kerajaan sendiri dan projek yang kita laksanakan,” katanya.
Dalam aspek kelestarian, katanya, kerajaan turut menyasarkan 70 peratus penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi bangunan kerajaan dan sekolah pada masa hadapan, manakala pembangunan baharu perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan projek sebagai kawasan hijau.
Selain itu, sekurang-kurangnya 50 peratus produk tempatan disasarkan untuk digunakan dalam pembinaan bangunan kerajaan bagi memperkukuh industri tempatan dan memastikan manfaat pembangunan terus dinikmati rakyat Sarawak.
“Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen kita untuk membangunkan persekitaran binaan yang moden, mampan dan dipacu sumber tempatan yang mampu memenuhi keperluan rakyat Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis sama, cek replika turut disampaikan kepada 20 penerima Skim Bantuan Deposit Perumahan dan Bayaran Balik (HDRAS), selaras dengan usaha kerajaan membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam memiliki kediaman.
Oleh Norman B





