KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah mengenal pasti beberapa lokasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) serta pos kawalan sempadan yang perlu dinaik taraf bagi menjaga keselamatan di sempadan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara lokasi yang dikenal pasti adalah Tebedu, Biawak, Long Singut dan Ba’Kelalan.
Katanya, CIQ Tebedu memerlukan naik taraf agar setanding CIQ Entikong yang dibina oleh kerajaan Indonesia beberapa tahun lalu.
“CIQ di Entikong sudah dinaiktaraf jadi kita mesti lakukannya juga dan lokasi untuk CIQ ini juga perlu kita dekatkan dengan sempadan.
“Perkara yang sama juga terjadi di sempadan Biawak, Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Aruk sudah dinaiktaraf dan kita belum.
“Dua lagi lokasi yang perlu diberi perhatian adalah Pos Kawalan Sempadan Long Singut dan Ba’Kelalan yang kita akan naik taraf.
“Kita juga ada merancang untuk membina sebuah lagi CIQ di Tapak Megah, tapi saya rasa ini perlu dibincangkan semula kerana kita mahukan lokasi yang lebih dekat dengan sempadan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyatakan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa dan sudah lama bersedia menghulurkan bantuan kepada Kerajaan Pusat untuk menambah Pos Kawalan Sempadan di Sarawak.
“Kita sedia dan kita ada dana untuk membantu Kerajaan Pusat bagi membina Pos Kawalan Sempadan.
“Pembinaan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan, jadi kita tidak ada kuasa untuk membinanya sendiri, tapi kita sentiasa akan memberi kerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk menyediakan tapak pembinaan Pos Kawalan Sempadan itu,” katanya.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah baru-baru ini.
Untuk rekod, sempadan di antara dua negeri (Sabah dan Sarawak) itu terdiri daripada 1,881 kilometer yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia, dan wilayah Kalimantan di Indonesia.
Oleh SHAHRUL QAIZAT