
LIMBANG: Sarawak tetap mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun meskipun Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan ketetapan baharu dengan menetapkan usia maksimum belia kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mempunyai kuasa untuk menetapkan had umur belia di peringkat negeri dan tidak terikat dengan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.
“Untuk Sarawak, buat masa ini kita kekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun. Kita tidak mahu menurunkannya secara mendadak kerana banyak implikasi, termasuk kelayakan untuk dana dan program pembangunan belia,” katanya kepada media selepas merasmikan Program BELIA GoBiz@Limbang 2025 di Dewan Suarah, hari ini.
Abdul Karim berkata, pelbagai kementerian dan agensi negeri menjalankan program khas untuk menyokong pembangunan belia, termasuk dalam bidang pertanian dan keusahawanan.
“Jika had umur diturunkan kepada 30 tahun, ramai yang baru tamat pengajian tidak lagi layak menyertai program atau menerima bantuan tertentu. Maka, kita kekalkan dahulu had umur 40 tahun di Sarawak,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), selaku NGO belia terbesar di negeri ini, turut memainkan peranan penting dalam memperkasa golongan muda.
“Struktur pengurusan SABERKAS juga mempunyai keunikan tersendiri, di mana 70 peratus ahlinya terdiri daripada individu berumur 40 tahun ke bawah, manakala 30 peratus lagi berumur lebih 40 tahun.
Pendekatan ini bertujuan memanfaatkan pengalaman golongan lebih berusia untuk membimbing dan memperkasakan generasi muda,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Hannah Yeoh mengumumkan bahawa had umur belia akan dihadkan kepada 30 tahun mulai 1 Januari 2026, selaras dengan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato’ Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Unus Tambi dan tetamu kehormat lain.
Oleh Adeng Edrus