Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak jadi kanvas seniman antarabangsa
  • TEMPATAN

Sarawak jadi kanvas seniman antarabangsa

Utusan Sarawak 4 hours ago
SEKITAR suasana Pratonton khas “Di Bawah Langit Sarawak” yang berlangsung di Galeri Hoan, Pusat Beli-Belah La Promenade, hari ini. Foto: Norman B

KOTA SAMARAHAN: Sarawak menjadi lokasi ekspedisi seni melibatkan lebih 20 seniman dari Malaysia, Singapura dan Thailand yang menjelajah beberapa bahagian negeri ini bagi menghasilkan karya visual berasaskan landskap, budaya dan kehidupan masyarakat setempat.

Pratonton khas “Di Bawah Langit Sarawak” yang berlangsung di Galeri Hoan, Pusat Beli-Belah La Promenade hari ini, memperlihatkan interpretasi segar terhadap wajah Sarawak dalam bentuk lukisan, lakaran dan dokumentasi visual hasil ekspedisi selama 10 hari.

Pratonton khas berkenaan menampilkan karya yang dihasilkan sepanjang perjalanan merentasi lokasi bersejarah, penempatan komuniti, rumah panjang serta kawasan warisan yang membentuk identiti negeri ini.

ANTARA lukisan yang dipamerkan pada Pratonton khas “Di Bawah Langit Sarawak” yang berlangsung di Galeri Hoan, Pusat Beli-Belah La Promenade, hari ini. Foto: Norman B

Antara lokasi yang dilawati termasuk Kampung Wireless di Miri, Kubu Alice di Sri Aman serta kawasan Padungan dan Old Bazaar di Kuching, selain beberapa penempatan komuniti yang memperlihatkan kehidupan harian masyarakat setempat.

Para peserta terdiri daripada seniman dari Singapura, Thailand serta pelukis dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak, yang merakam setiap detik perjalanan mereka secara langsung di lapangan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata program ini bukan sahaja memperkaya landskap seni di Sarawak, malah mengangkat negeri ini sebagai pentas kreatif yang semakin mendapat perhatian serantau.

ANTARA lukisan yang dipamerkan pada Pratonton khas “Di Bawah Langit Sarawak” yang berlangsung di Galeri Hoan, Pusat Beli-Belah La Promenade, hari ini. Foto: Norman B

Beliau berkata inisiatif seumpama ini turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab seni dan industri kreatif yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Program seperti ini membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi seni serantau yang dapat memperkenalkan Sarawak ke peringkat lebih luas,” kata beliau.

“Karya yang dihasilkan bukan sahaja bernilai seni, tetapi turut menjadi dokumentasi penting yang merakam keindahan dan identiti Sarawak,” tambahnya.

 PESERTA dari Thailand, Muhammad Rojana-udomsat. Foto: Norman B

Menurut salah seorang peserta dari Thailand, Muhammad Rojana-udomsat, beliau melahirkan rasa terpesona terhadap keunikan Sarawak yang sarat dengan kepelbagaian etnik, budaya dan landskap yang berbeza-beza di setiap lokasi.

“Saya amat teruja dengan keunikan Sarawak yang penuh kepelbagaian etnik dan budaya. Setiap tempat yang kami lawati mempunyai cerita tersendiri, dan semua itu saya terjemahkan melalui lukisan saya untuk mempamerkan keindahan sebenar Sarawak,” katanya.

Sepanjang ekspedisi, para peserta turut menelusuri kehidupan masyarakat setempat di rumah panjang dan kampung tradisional.

Program pratonton itu menghimpunkan hasil karya terpilih sebelum pameran penuh diadakan pada penghujung tahun ini, dengan semua karya turut ditawarkan untuk jualan kepada pengunjung.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: BPSB kekal pengendali pelabuhan bintulu susulan perubahan status
Next: Kuota diesel sektor industri perlu kekal mencukupi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.