
KUALA LUMPUR: Sarawak Energy Berhad menerima pengiktirafan berprestij dalam Anugerah Kelestarian Forward Faster 2026 apabila kajian kes tindakan iklim syarikat itu diiktiraf kerana menunjukkan kemajuan yang boleh diukur selaras dengan keutamaan Forward Faster UN Global Compact serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
Kajian kes berimpak tinggi itu, bertajuk ‘Leading Malaysia’s Climate Transition: Sarawak Energy’s Journey to Science Based Targets Validation’ (Menerajui Peralihan Iklim Malaysia: Perjalanan Sarawak Energy ke Arah Pengesahan Sasaran Berasaskan Sains) memenangi anugerah bagi kategori syarikat besar pada majlis yang berlangsung pada 29 Januari lalu.
Anugerah berkenaan diterima oleh Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Siti Aisah Adenan, dalam majlis yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh tadbir urus tindakan iklim, meningkatkan akauntabiliti serta menyelaraskan operasi dengan piawaian kelestarian global.
“Fokus utama Sarawak Energy adalah memperkukuh kredibiliti kelestarian melalui penerapan metodologi berasaskan sains dengan pengesahan pihak ketiga bagi memastikan pematuhan tadbir urus dan keperluan kelestarian antarabangsa. Kredibiliti ini penting untuk membina kepercayaan, memacu penciptaan nilai jangka panjang dan memperkukuh pengurusan risiko,” katanya.
Menurut beliau, sejak 2010 Sarawak Energy telah memperhebat usaha pengurangan pelepasan karbon dengan menyahkarbon sistem penjanaan tenaga melebihi 70 peratus melalui pemanfaatan sumber hidro, memperoleh pensijilan piawaian kelestarian global bagi Loji Hidroelektrik Bakun, membangunkan kumpulan penilai kelestarian serta rangka kerja dalaman sebagai panduan operasi.

“Pengiktirafan oleh Rangkaian UN Global Compact Malaysia & Brunei ini mencerminkan kemajuan kami dalam menterjemahkan aspirasi kelestarian kepada impak sebenar,” katanya.
Sementara itu, Siti Aisah berkata anugerah tersebut menzahirkan komitmen berterusan Sarawak Energy dalam mengintegrasikan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa ke dalam operasi perniagaan, seiring hasrat untuk muncul sebagai peneraju kelestarian serantau.
“Kami menghargai peranan UNGCMYB sebagai rakan strategik dalam memperjuangkan prinsip dan amalan kelestarian. Sarawak Energy komited menjadikan kelestarian sebagai teras dalam setiap keputusan perniagaan, bukan sekadar elemen tambahan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Strategi dan Pelan Hala Tuju Kelestarian Sarawak Energy disemak secara berkala selari dengan pembangunan Pelan Penyahkarbonan Korporat, selain pelaksanaan taklimat menyeluruh berkaitan kesedaran sasaran 1.5°C dan Net Zero, mitigasi serta adaptasi iklim.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menerima anugerah tertinggi acara tersebut, Anugerah Wawasan Kelestarian Forward Faster 2026, manakala Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dianugerahkan Anugerah Nexus Kelestarian Forward Faster 2026.
Anugerah berkenaan menggunakan model penilaian 50/50 yang menggabungkan undian awam dan penilaian Panel Hakim Bebas. Sarawak Energy merupakan ahli UN Global Compact sejak 2016.