Sarawak hantar pelajar ke UK, latih pakar semikonduktor

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk tengah) bercakap ketika sesi sidang media selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semikonduktor, Yayasan Sarawak dan Universiti Bristol di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini. Foto BERNAMA

PETRA JAYA: Sarawak akan menghantar pelajar tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Bristol, United Kingdom sebagai usaha strategik melahirkan pakar dalam industri semikonduktor.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) Semikonduktor, Universiti Bristol dan Yayasan Sarawak yang memeterai memorandum persefahaman (MOU) dalam satu acara diadakan di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (empat, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semikonduktor Shariman Jamil (dua, kiri), Pengarah Yayasan Sarawak Datuk Mohamad Junaidi Mohidin (kanan) dan Pengarah Akademik Universiti Bristol Profesor Martin Kuball (kanan, tiga) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara SMD Semikonduktor, Yayasan Sarawak dan Universiti Bristol di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya hari ini. Foto BERNAMA

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu bertujuan melatih anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD, selain menyokong aktiviti penyelidikan dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata Sarawak berhasrat membangunkan industri semikonduktor yang bukan sahaja menggunakan teknologi sedia ada malah mampu membangunkan teknologi sendiri melalui kepakaran anak tempatan.

PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto BERNAMA

“Pada peringkat awal, kita akan menghantar tiga pelajar untuk melanjutkan pengajian PhD di Universiti Bristol, sama ada mereka yang telah mempunyai pengalaman atau yang mempunyai Ijazah Sarjana. 

“Semestinya mereka yang terpilih ini akan berkhidmat dengan kerajaan negeri Sarawak selepas tamat pengajian, jumlah ini (tiga pelajar) juga akan kita tambah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara tersebut. – Bernama