Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak Energy pacu kesalinghubungan tenaga serantau
  • SEMASA

Sarawak Energy pacu kesalinghubungan tenaga serantau

Utusan Sarawak 1 day ago
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini. Selama hampir tiga dekad, inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) kekal sebagai antara aspirasi jangka panjang sektor tenaga di Asia Tenggara. Bertujuan memperkukuh jaringan saling hubungan bekalan elektrik serantau dengan memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan tenaga, kebolehcapaian dan kemampanan, APG menunjukkan kemajuan secara berperingkat selepas bertahun-tahun melalui pelbagai perbincangan. Usaha ini diterajui oleh Sarawak Energy dengan tumpuan semasa untuk memperkukuh Grid Borneo sebagai langkah asas ke arah merealisasikan Grid Kuasa ASEAN yang lebih menyeluruh. Foto BERNAMA

KUCHING: Selepas hampir tiga dekad diperkenalkan, inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) kekal sebagai antara aspirasi jangka panjang Asia Tenggara dalam sektor tenaga.

 APG yang menyasarkan untuk memperkukuh kesalinghubungan bekalan elektrik serantau dengan menumpukan kepada peningkatan keselamatan tenaga, kebolehsampaian dan kemampanan, telah menunjukkan kemajuan secara berperingkat selepas bertahun-tahun melalui pelbagai perbincangan.

Usaha itu diterajui oleh Sarawak Energy, yang kini memberi tumpuan untuk mempertingkat grid Borneo sebagai langkah asas ke arah merealisasikan APG secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata syarikat utiliti milik kerajaan negeri itu kini sedang memacu pembangunan grid Borneo melalui perbincangan dan kerjasama dua hala.

“Kami mula mengeksport elektrik ke Kalimantan pada 2016 dan kini telah hampir 10 tahun. Pada Disember lepas, kami juga mula mengeksport elektrik ke Sabah. Pada masa sama, kami sedang berbincang dengan Brunei untuk mewujudkan kesalinghubungan.

“Sudah tentu, keutamaan kami adalah untuk membekalkan elektrik ke seluruh Sarawak terlebih dahulu. Bagaimanapun, kami percaya kami mempunyai potensi dan kapasiti yang mencukupi untuk membekalkan lebih banyak tenaga, dan ingin berkongsi tenaga itu dengan negara jiran,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili (kiri), ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini. Selama hampir tiga dekad, inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) kekal sebagai antara aspirasi jangka panjang sektor tenaga di Asia Tenggara. Foto BERNAMA

Sharbini berkata, Sarawak Energy turut memacu rancangan untuk memperkukuh kesalinghubungan bekalan elektrik rentas sempadan di luar Borneo, termasuk cadangan projek kabel bawah laut yang menghubungkan Sarawak dengan Singapura selain potensi sambungan grid antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, perbincangan mengenai projek Sarawak-Singapura menunjukkan perkembangan yang positif, dengan Penguasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) telah memberikan kelulusan bersyarat sekali gus mengiktiraf bahawa projek berkenaan telah dinilai pada peringkat awal sebagai berdaya maju dari segi teknikal dan komersial.

LOJI Hidroelektrik Murum. Foto BERNAMA

“Cabaran terbesar projek itu ialah kira-kira 80 peratus daripada laluan kabel itu melalui perairan Indonesia. Oleh itu, kami memerlukan kelulusan daripada Indonesia dan pelbagai pihak berkuasa berkaitan.

“Perkara ini sedang kami usahakan bersama-sama kerajaan Sarawak serta pihak atau agensi di peringkat Persekutuan. Pada akhirnya, projek ini melibatkan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan memandangkan projek ini merentasi sempadan negara.

GAMBARAN Projek Hidroelektrik Baleh. Sarawak Energy sedang membina Projek Hidroelektrik Baleh di Kapit yang akan mempunyai kapasiti 1,285 megawatt apabila siap kelak. Foto BERNAMA

“Apabila semua kelulusan dan urusan berkaitan selesai, kami menjangkakan projek kabel ini dapat beroperasi pada 2033 atau 2034,” katanya.

Bagi menyokong hasrat Sarawak dalam sektor tenaga yang semakin berkembang, Sharbini berkata negeri itu akan terus memanfaatkan sumber tenaga hidro serta memperluas kapasiti penjanaan elektrik.

“Ketika ini, kami mempunyai tiga loji hidroelektrik yang sedang beroperasi. Pertama, Batang Ai yang mula beroperasi pada 1985. Kami juga mempunyai Empangan Bakun dan Murum.

LOJI Hidroelektrik Bakun. Foto BERNAMA

“Secara keseluruhan, kemudahan ini menyediakan kapasiti tenaga hidro hampir 3.6 gigawatt,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak Energy juga sedang membina Projek Hidroelektrik Baleh di Kapit yang bakal mempunyai kapasiti penjanaan sebanyak 1,285 megawatt apabila siap.

“Kami berharap Baleh mula beroperasi menjelang 2030. Pada masa ini, jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang Sarawak adalah sekitar 5.9 gigawatt, dengan 3.6 gigawatt daripadanya disumbangkan oleh tenaga hidro.

“Baleh akan memainkan peranan penting dalam membantu kami mencapai sasaran kapasiti penjanaan 10 gigawatt menjelang 2030,” katanya.

LOJI Hidroelektrik Batang Ai, yang mula beroperasi sekitar tahun 1985. Foto BERNAMA

Sementara itu, Sharbini berkata Sarawak Energy turut meneroka pembangunan sistem empangan bertingkat di beberapa lembangan sungai di negeri itu bagi menjana tenaga elektrik.

Menurutnya sebanyak 12 lembangan sungai telah dikenal pasti berpotensi untuk projek berkenaan.

“Sistem penjanaan tenaga bertingkat terdiri daripada beberapa empangan atau struktur bersaiz kecil yang dibina secara bersiri.

“Pada asasnya, ini adalah sistem hidroelektrik aliran sungai. Konsep yang sama boleh ditemui di beberapa negara Eropah dan Australia. Berbanding membina sebuah empangan besar, beberapa struktur kecil dibina di sepanjang sungai.

“Pada masa ini, kami sedang mengkaji lima lembangan sungai. Kami telah mempelawa kontraktor dan pemaju untuk mengemukakan cadangan supaya kami dapat menilai sama ada projek ini berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kerugian hampir RM3 bilion cetus desakan perkukuh RUU Jenayah Siber
Next: MAA berharap kerajaan perluas beri tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik MPV

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.