SELANGOR: Skuad bola tampar pantai wanita Sarawak melakar sejarah baharu apabila buat pertama kali berjaya menempah tiket ke separuh akhir Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus semakin hampir merealisasikan impian membawa pulang pingat.
Kejayaan itu diraih pasangan Sarawak A, Stacy Usun Yesayah dan Jacqueline Yek Yi Jun, yang tampil dominan untuk menundukkan gandingan Sabah B, Jarinah Jumaani dan Cyla Dania, dengan kemenangan 2-0.
Sarawak A tidak memberi banyak ruang kepada lawan apabila mengawal permainan sejak awal sebelum mengakhiri set pertama dengan kemenangan 21-13.

Momentum sama diteruskan pada set kedua apabila Stacy dan Jacqueline terus menekan pasangan Sabah untuk mencatat kemenangan besar 21-6, sekali gus melengkapkan kemenangan dua set terus.
Jurulatih bola tampar pantai wanita Sarawak, Lee Say Hou, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian istimewa selepas tiga kali membimbing pasukan Sarawak pada temasya SUKMA.
“Ini kali ketiga saya membawa pasukan bola tampar pantai wanita ke SUKMA dan kali pertama kita berjaya sampai ke separuh akhir.
“Bagi saya, ini satu sejarah untuk bola tampar pantai Sarawak dan saya berharap kita dapat terus mencipta sejarah pada kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Gelanggang Bola Tampar Pantai Majlis Bandaraya Shah Alam, di Shah Alam, hari ini.
Menurut Lee, Stacy dan Jacqueline menunjukkan persembahan yang cukup meyakinkan, sekali gus membolehkan Sarawak melangkah ke kelompok empat terbaik buat pertama kali.

Namun, cabaran Sarawak A masih belum berakhir apabila mereka dijadualkan bertemu Perak A pada petang ini bagi menentukan juara Kumpulan Y.
Lee berkata pasukannya akan menggunakan perlawanan tersebut sebagai persediaan sebelum menghadapi aksi separuh akhir, selain menyasarkan untuk meneruskan kemaraan hingga ke pentas final.
“Kita akan berdepan Perak A dan harapnya kita boleh muncul juara Kumpulan Y. Selepas itu, kita akan fokus kepada separuh akhir dan seterusnya final esok.
“Sasaran kita ialah pingat dan kalau boleh, kita mahu mencipta satu lagi sejarah dengan memenangi pingat emas,” katanya.
Kemaraan Stacy dan Jacqueline ke separuh akhir kini membuka peluang terbaik buat Sarawak untuk mencatat pencapaian sulung berupa pingat dalam acara bola tampar pantai wanita di pentas SUKMA.
Oleh Shahrul Qaizat





