Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak, Brunei perlu manfaat potensi kerjasama ekonomi
  • TEMPATAN

Sarawak, Brunei perlu manfaat potensi kerjasama ekonomi

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan Sarawak komited memperkukuh kerjasama ekonomi dengan Brunei melalui pembangunan sektor tenaga hijau, semikonduktor, pertanian moden dan pelancongan.

LAWAS: Negara Brunei digesa memanfaatkan peluang untuk memperluaskan kerjasama ekonomi dengan Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pertanian, pelancongan dan industri berteknologi tinggi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata terdapat pelbagai potensi yang boleh diterokai bersama antara Sarawak dan Brunei bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta meningkatkan daya saing kedua-dua pihak.

Beliau berkata, selain sektor minyak dan gas yang menjadi kekuatan kedua-dua negara, Sarawak kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan pertanian moden, pelancongan, industri berteknologi tinggi, kredit karbon serta industri semikonduktor dan aeroangkasa.

“Industri minyak dan gas di Malaysia bermula di Miri pada 1910, manakala Brunei pula terkenal dengan kemajuan dalam sektor itu.

“Pada masa sama, Sarawak turut memberi penekanan kepada pembangunan pertanian moden, pemasaran hasil pertanian, pelancongan, industri berteknologi tinggi dan kredit karbon.

“Kerajaan Persekutuan juga telah memutuskan supaya Sarawak dibangunkan sebagai hab industri semikonduktor dan ekonomi berkaitan aeroangkasa kerana negeri ini mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui berasaskan hidro, solar dan biojisim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Jelajah Usahawan Sarawak-Brunei 2026 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, usahawan serta pelabur dari Sarawak dan Brunei perlu memanfaatkan pelbagai peluang, kemudahan serta insentif yang disediakan bagi memperkukuh kerjasama ekonomi.

Menurutnya, platform seperti Jelajah Usahawan Sarawak-Brunei mampu menjadi pemangkin untuk memperluaskan pasaran, menjalin kerjasama strategik, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tambah tinggi.

“Melalui kerjasama yang erat, perkongsian kepakaran dan pelaburan strategik, saya yakin lebih banyak perusahaan berdaya saing dapat diwujudkan sekali gus mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh; Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB), serta tetamu kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: Perdagangan Malaysia-Brunei cecah RM5.8 bilion, Sarawak-Brunei lebih RM1.8 bilion
Next: Pertandingan menyumpit terbuka Sarawak meriah, tarik penyertaan seluruh negeri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.