KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi akan terus memantau penularan virus ‘human metapneumovirus’ (hMPV) yang melanda di China baru-baru ini
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengenai perkara ini.
“Perbincangan tertumpu kepada langkah dan kawalan yang diambil bagi memastikan situasi di Sarawak terkawal sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-51 Persatuan Seni Bela Diri Cina di Tua Pek Kong di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 327 sampel positif virus hMPV sepanjang 2024, meningkat berbanding 225 pada tahun 2023.
KKM dalam kenyataan sebelum ini berkata hMPV adalah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
Dr Sim berkata kawalan kesihatan akan terus diperketatkan bagi mengelak gejala tersebut merebak kepada pesakit kronik atau mereka yang mempunyai sejarah lampau penyakit yang boleh membawa padah.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Sarawak memiliki ordinan sendiri untuk menangani wabak penyakit berjangkit sambil menekankan kesiapsiagaan negeri menghadapi ancaman kesihatan global.
“Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan sebarang tindakan khusus berkaitan wabak ini, tetapi kita tetap berwaspada,” katanya.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan mengurangkan aktiviti berkumpulan sekiranya berasa tidak sihat.
Katanya, orang ramai perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman wabak COVID-19 yang melanda dunia lima tahun lalu.
Oleh Noor Ikmal