
MALUDAM: Sarawak berjaya mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum kerana rakyatnya saling hormat-menghormati dan tidak menjadikan perbezaan sebagai halangan untuk bersatu di bawah satu panji Ibu Pertiwiku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata kesuburan perpaduan dan keharmonian di Sarawak kekal utuh dan tidak pernah luntur kerana masyarakatnya tidak pernah menjadikan perbezaan kaum, budaya dan aktiviti harian sebagai dinding pemisah antara satu sama lain.
“Masyarakat berbilang kaum di negeri ini seharusnya menjadikan setiap perayaan yang disambut oleh pelbagai golongan lapisan masyarakat sebagai satu landasan untuk mempelajari, mengenali kebudayaan serta adat resam sesebuah kaum lain dengan lebih dekat.
“Peluang sebegini haruslah dimaanfaatkan sepenuhnya oleh semua anggota masyarakat dengan mengunjungi rakan taulan yang merayakan sesuatu perayaan untuk mempelajari lebih lanjut mengenai perayaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan kunjungan Gawai Dayak di Rumah Kimbi Inol, Kampung Sungai Pedada dekat sini semalam.
Dayang Noorazah berkata sebagai contoh perayaan Gawai Dayak yang disambut pada hari ini, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas dan pelbagai perayaan yang lain di negara kita ini mempunyai keunikan tersendiri dan semua lapisan masyarakat berbilang kaum berpeluang merayakan kesemua perayaan ini tanpa mengira bangsa mahupun agama.
“Inilah sebenarnya keunikan masyarakat Malaysia dan sering kali kita lihat di majlis rumah terbuka, mereka yang berkunjung bukan hanya masyarakat yang merayakan perayaan terbabit malah masyarakat dari kaum lain,” katanya.
Oleh Adi Safarman