Senator Ahmad meriahkan Aidiladha di Batu Kitang

Facebook
WhatsApp
SENATOR Dato Ahmad Ibrahim menyempurnakan majlis pengagihan daging korban sempena sambutan Aidiladha di Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya, Batu Kitang petang tadi. Foto Senator Dato Ahmad Ibrahim

KUCHING: Majlis pengagihan daging korban sempena sambutan Aidiladha  telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan semangat kekitaan di Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya, Batu Kitang petang tadi.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Senator Dato Ahmad Ibrahim yang hadir menyantuni komuniti setempat dan menyampaikan agihan daging korban kepada para penerima, termasuk penduduk Kampung Paya Mebi dan ahli Persatuan Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya.

Beliau menekankan bahawa ibadah korban bukan sahaja menyemai nilai pengorbanan dan keikhlasan, malah memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Aidiladha mengajar kita untuk saling membantu, menyantuni golongan memerlukan dan memupuk semangat gotong-royong.

“Saya amat berbangga melihat kebersamaan yang ditonjolkan oleh komuniti nelayan dan penduduk di sini,” ujar beliau hari ini.

SENATOR Dato Ahmad Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama penduduk pada majlis pengagihan daging korban sempena sambutan Aidiladha di Jeti Nelayan Darat Lubok Buaya, Batu Kitang petang tadi. Foto Senator Dato Ahmad Ibrahim

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk para penyumbang, persatuan, dan penduduk kampung, atas kerjasama menjayakan majlis tersebut.

Tambah beliau, program seperti ini merupakan platform penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar dan kawasan pesisir.

Majlis turut diserikan dengan jamuan ringan serta penyampaian daging korban secara berperingkat kepada para penerima.