
KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Mengenai Penuaan (SICA) 2025 yang akan berlangsung di Kuching pada 28 hingga 29 Oktober depan sempena sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan dan Hari Warga Emas Sedunia.
Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) dalam kenyataan memaklumkan persidangan berkenaan diadakan dengan kerjasama Persatuan Gerontologi dan Geriatrik Sarawak (SGGS) dengan matlamat menangani isu berkaitan populasi menua, di samping mencadangkan penyelesaian inovatif.
“SICA 2025 bertujuan merangka dasar yang menyeluruh bagi melindungi hak warga emas, memastikan penglibatan mereka dalam masyarakat serta menyediakan perlindungan sosial yang sewajarnya.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar penuaan penduduk di Sarawak berlaku lebih cepat berbanding trend kebangsaan, dengan anggaran sekitar 16 peratus penduduk negeri ini akan berusia 60 tahun ke atas menjelang 2028,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPWK, SICA 2025 adalah sebuah platform penting bagi Sarawak bagi mempersiapkan masyarakat dan dasarnya dalam menghadapi masa depan, dengan memastikan tiada sesiapa pun khususnya golongan warga emas tercicir.
“Dengan menggalakkan penuaan yang aktif, maruah dan pemerkasaan, kita bukan sahaja sedang melabur dalam warga emas, tetapi juga untuk ketahanan komuniti kita pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
SICA 2025 bertemakan “Ageing with Dignity: Policies for Rights, Inclusion and Social Protection”, mencerminkan komitmen Sarawak untuk mencapai status pembangunan inklusif sosial menjelang 2030.
Persidangan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030) dan Dekad Penuaan Sihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2021-2030).
Maklumat lanjut berkaitan SICA 2025 boleh didapati dengan menghubungi Majlis Pembangunan Sosial KPWK menerusi talian 082-374700 atau e-mel enquiries@sica2025.com.my.
-Bernama