
SINGAPURA: Sarawak akan menganjurkan Mega Fair pertamanya di Singapura dari 16 hingga 19 Oktober, mempamerkan potensi perniagaan, pelancongan dan kebudayaan negeri itu dalam usaha agresif meningkatkan kehadiran serta menarik lebih ramai pelabur dan pelawat, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hii Chang Kee.
Dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak, acara itu akan menampilkan Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan pada 16 dan 17 Oktober di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, di samping Karnival dan Pameran Gastronomi Sarawak pada 16 hingga 19 Oktober di Suntec City Atrium serta Menara 1 & 2.
“Sarawak telah lama menjadi pasaran pelancongan dan kebudayaan tradisional bagi rakyat Singapura. Kami mahu melangkah lebih jauh.
“Kami tidak mahu hanya dikenali kerana budaya dan warisan.
“Kami ingin bergerak ke hadapan, tidak lagi bergantung pada pasaran tradisional dan kaedah konvensional, sebaliknya mengorak langkah agresif menuju ekonomi baharu,” katanya pada sidang media prapelancaran Sarawak Mega Fair di sini, Jumaat.
Menurut Hii, Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan akan menghimpunkan lebih 100 peserta pameran dari agensi kerajaan dan sektor swasta di Sarawak.
Penceramah daripada pelbagai sektor kerajaan akan berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan dan perdagangan di negeri itu.
Beliau berkata sesi perbincangan berkumpulan juga akan diadakan bagi membolehkan interaksi lebih rapat antara agensi kerajaan dan pemain industri, di samping menyediakan peluang rangkaian bagi hubungan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
Sementara itu, pengunjung yang mengunjungi Karnival dan Pameran Gastronomi Sarawak berpeluang menerokai keunikan budaya dan warisan negeri itu melalui pameran pelancongan, persembahan langsung, demonstrasi kraf tradisional dan aktiviti interaktif.
“Bagi orang awam Singapura, ini adalah peluang terbaik untuk mengenali gastronomi Sarawak selain warisan dan budayanya,” kata Hii.
Beliau juga berkata dengan AirBorneo yang dijangka mula beroperasi tahun depan, rakyat Singapura akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk melancong terus ke Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan acara berkenaan dan menyertai sesi “fireside chat” pada 16 Oktober.
Untuk maklumat lanjut boleh layari [https://statos.com.sg/event/sarawak-mega-fair-2025-in-singapore-sg/](https://statos.com.sg/event/sarawak-mega-fair-2025-in-singapore-sg/) — Bernama