Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Sarang burung berkualiti tinggi Malaysia terus jadi pilihan pengguna China
  • GLOBAL

Sarang burung berkualiti tinggi Malaysia terus jadi pilihan pengguna China

Utusan Sarawak 2 hours ago
SARANG burung berkualiti tinggi Malaysia terus menjadi pilihan utama di China, dengan permintaan kekal tinggi dalam pasaran makanan kesihatan negara itu.

QINZHOU, China: Reputasi Malaysia sebagai pengeluar sarang burung boleh dimakan berkualiti tinggi terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran makanan kesihatan dan kesejahteraan China yang berkembang pesat.

Permintaan untuk sarang burung Malaysia juga kekal antara tertinggi di dunia.

Wakil China-Malaysia Jinguyan (Guangxi) Biotechnology Co. Ltd, Long Hui berkata syarikat itu mengimport terutamanya sarang burung mentah dari Malaysia, memandangkan ia terus menjadi pilihan utama dalam kalangan pemproses dan pengguna China kerana kualitinya yang konsisten dan penerimaan pasaran yang kukuh.

“Malaysia menyediakan sarang burung mentah kualiti terbaik. Kami kini mengimport kira-kira satu tan sarang burung mentah dari Malaysia setiap tahun, kerana kualiti dan konsistensi produk Malaysia kekal bernilai tinggi di pasaran China,” katanya kepada pemberita semasa lawatan media baru-baru ini.

Anak syarikat induk Kumpulan Pegangan Pelaburan China-Malaysia itu pakar dalam memproses sarang burung boleh dimakan mentah yang diimport dari Malaysia dan membekalkan produk berkenaan kepada pengguna di seluruh China.

Long berkata China diiktiraf secara meluas sebagai pasaran pengguna terbesar dunia untuk produk sarang burung boleh dimakan dan Jinguyan telah membina keupayaan pemprosesan yang besar untuk memenuhi permintaan.

Beliau berkata syarikat itu, yang mempunyai 7,000 pekerja, mengekalkan prosedur kawalan kualiti yang ketat.

“Pekerja terlatih secara manual melakukan pembersihan dan pemprosesan antara 10 dan 30 keping sarang burung setiap hari.

“Pengeluaran dibuat mengikut permintaan pasaran, dengan purata kira-kira 4,000 botol seminggu dan membekalkan produk sedia untuk digunakan bagi pasaran China,” katanya.

Long berkata perniagaan itu kini menjana pendapatan tahunan sekitar 20 juta yuan, menekankan nilai komersial industri sarang burung dan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara Malaysia dan China.

Terletak di Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP), syarikat itu adalah sebahagian daripada inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar”, satu kerjasama penting antara Malaysia dan China yang direka untuk meningkatkan kesalinghubungan industri, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Taman perindustrian itu berperanan sebagai pintu masuk penting untuk produk sarang burung Malaysia memasuki China, menyokong integrasi rantaian bekalan dan mewujudkan peluang baharu bagi perniagaan yang mencari akses kepada pasaran pengguna terbesar dunia untuk sarang burung boleh dimakan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Kematian akibat dos berlebihan dadah di Australia catat rekod tertinggi pada 2024

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.