Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Sambutan Songkran di Thailand tetap meriah meskipun kos bahan api meningkat
  • GLOBAL

Sambutan Songkran di Thailand tetap meriah meskipun kos bahan api meningkat

Utusan Sarawak 2 days ago
SUASANA meriah dan penuh warna-warni menyelubungi Wat Macchimaprasit di sini hari ini apabila orang ramai membanjiri Pesta Songkran 2026 peringkat kebangsaan, menandakan sambutan Tahun Baharu masyarakat Siam yang sarat dengan adat dan tradisi. Lebih daripada sekadar pesta air, perayaan itu dimulakan dengan amalan penuh hormat apabila golongan muda memohon maaf serta restu daripada ibu bapa, datuk nenek dan sami sebagai simbol penyucian diri serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti. Golongan tua kemudian dimandikan dengan air bersih dan disapukan bedak pada anggota badan sebelum dikenakan pakaian baharu, mencerminkan penghormatan tinggi serta nilai murni yang terus dipelihara dalam masyarakat Siam. Disambut setiap 13 April, Songkran merupakan warisan budaya yang menggambarkan sejarah panjang serta identiti unik masyarakat Siam di negara ini, kekal relevan dan terus diraikan dengan penuh semangat hingga kini. – Foto Bernama

BANGKOK: Sambutan perayaan Songkran di Thailand terus menarik kehadiran jutaan penduduk tempatan dan pelancong ke seluruh negara, meskipun berhadapan dengan kenaikan harga bahan api dan kos perjalanan yang melambung tinggi.

Bandar-bandar utama seperti Bangkok, Chiang Mai dan Phuket menganjurkan acara ‘perang air’ secara besar-besaran serta pelbagai aktiviti kebudayaan. Ini sekali gus memperkukuh status Songkran sebagai pemacu utama industri pelancongan walaupun kos sara hidup dan pengangkutan yang lebih tinggi kini membebankan pelancong.

Bagaimanapun, terdapat penduduk yang mula mengubah rancangan mereka sebagai tindak balas kepada peningkatan kos. Suweewiraya Wannasing, 38, memilih untuk kekal di Bangkok tahun ini bagi mengelakkan perbelanjaan tinggi dan kesukaran untuk pulang ke kampung halamannya di Wilayah Surin.

SUASANA meriah dan penuh warna-warni menyelubungi Wat Macchimaprasit di sini hari ini apabila orang ramai membanjiri Pesta Songkran 2026 peringkat kebangsaan, menandakan sambutan Tahun Baharu masyarakat Siam yang sarat dengan adat dan tradisi. Lebih daripada sekadar pesta air, perayaan itu dimulakan dengan amalan penuh hormat apabila golongan muda memohon maaf serta restu daripada ibu bapa, datuk nenek dan sami sebagai simbol penyucian diri serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti. Golongan tua kemudian dimandikan dengan air bersih dan disapukan bedak pada anggota badan sebelum dikenakan pakaian baharu, mencerminkan penghormatan tinggi serta nilai murni yang terus dipelihara dalam masyarakat Siam. Disambut setiap 13 April, Songkran merupakan warisan budaya yang menggambarkan sejarah panjang serta identiti unik masyarakat Siam di negara ini, kekal relevan dan terus diraikan dengan penuh semangat hingga kini. – Foto Bernama

Suweewiraya, yang telah bekerja di Bangkok selama 15 tahun berkata, beliau memulakan harinya dengan mengunjungi kuil untuk bersembahyang sebagai sebahagian daripada tradisi sambutan Songkran.

“Selepas bersembahyang, saya akan menghubungi ibu bapa untuk memberi penghormatan dan memohon restu mereka untuk masa depan saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Isnin.

Beliau berkata pada sebelah petang, beliau akan menyertai rakan-rakannya untuk mengambil bahagian dalam pesta air dan konsert, mencerminkan bagaimana kebanyakan penduduk mengimbangi tradisi dengan keraian di sebalik peningkatan kos.

RATU Songkran 2026, Jauwadee Bun Chea menjadi tumpuan apabila diarak mengelilingi perkarangan Wat Macchimaprasit pada Majlis Perasmian Pesta Songkran peringkat kebangsaan 2026 di sini hari ini, dalam suasana penuh meriah dan berwarna-warni. Sambutan itu menandakan Tahun Baharu masyarakat Siam yang bukan sahaja sinonim dengan pesta air, malah sarat dengan nilai tradisi dan penghormatan terhadap golongan tua dalam komuniti. Sebelum acara bermandikan air diadakan, golongan muda terlebih dahulu mengikut adat dengan memohon maaf serta mendapatkan restu daripada ibu bapa, datuk nenek dan sami sebagai tanda hormat serta penyucian diri. Golongan tua kemudiannya dimandikan dengan air bersih dan disapukan bedak pada anggota badan sebelum dikenakan pakaian baharu, melambangkan kesejahteraan dan permulaan baharu. Disambut setiap 13 April, perayaan Songkran merupakan khazanah warisan budaya yang mencerminkan sejarah panjang serta keunikan masyarakat Siam di negara ini, terus dipelihara dan diraikan dengan penuh semangat hingga kini. – Foto Bernama

Songkran, yang disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April, ditandai dengan perhimpunan anngota  keluarga, penghormatan kepada orang tua dan nenek moyang, serta upacara membersihkan imej Buddha.

Diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, festival ini juga merupakan acara kemuncak dalam kalendar pelancongan Thailand yang menarik pelawat dari seluruh dunia untuk merasai kemeriahan sambutan dan tradisi budayanya yang kaya.

Namun, perayaan tahun ini berlangsung berlatarbelakangkan krisis tenaga global yang dikaitkan dengan ketegangan geopolitik, yang telah melonjakkan harga bahan api dan meningkatkan kos pengangkutan.

Kerajaan Thailand telah menggesa orang ramai untuk mengambil langkah penjimatan tenaga dan memperkenalkan inisiatif seperti mengekalkan tambang pengangkutan awam serta memastikan bekalan bahan api yang mencukupi bagi mengurangkan beban pengembara semasa tempoh perayaan ini.

Sementara itu, Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool berkata festival Songkran menghimpunkan elemen terbaik budaya Thai dan sambutan kontemporari, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai satu acara global sebenar.

“Dengan pengiktirafan UNESCO terhadap Songkran di Thailand sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, kami bangga untuk mempersembahkan pengalaman yang berakar umbi dalam tradisi sambil merangkul kemodenan, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan Thailand sebagai destinasi festival bertaraf dunia,” katanya.

Songkran, yang dianggap secara meluas sebagai satu daripada  festival paling penting dan menguntungkan di Thailand, terus memainkan peranan penting dalam memacu aktiviti ekonomi dengan perniagaan dan komuniti setempat mendapat manfaat daripada limpahan pelancong.

Ketika jalan raya dipenuhi dengan percikan air dan ritual tradisional diteruskan, daya tarikan Songkran yang kekal menunjukkan kemampuan Thailand untuk meraikan warisan budayanya walaupun di tengah-tengah cabaran ekonomi global. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Juruterbang Lufthansa lancar mogok 48 jam
Next: Vietnam keluar amaran risiko wabak meningokokus selepas empat kematian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.