SIBU: Sambutan Hari Krismas adalah meraikan peristiwa penuh bermakna dan keberkatan, iaitu kelahiran Tuhan Yesus Kristus.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ia merupakan sebuah perayaan yang bukan hanya diraikan dengan penuh kegembiraan, tetapi juga dalam semangat kasih sayang, pengorbanan, dan pengampunan.
Menurutnya, perayaan Hari Krismas merupakan hari untuk mengingatkan tentang kasih sayang yang tiada batasan, memberi tanpa mengharapkan balasan dan meraih kedamaian dalam kehidupan seharian.
“Semangat Krismas mengajarkan kita untuk saling menghormati, memberi perhatian kepada mereka yang memerlukan, dan mengeratkan silaturahim sesama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh wakilnya, Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PPD) Cawangan Sibu Jaya Kaunselor Paul Teo pada majlis sambutan Hari Krismas Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Kalvari, Sibu Jaya, semalam.
Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, merasa bangga melihat masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama hidup dalam keadaan harmoni, saling menghormati, dan sentiasa berusaha untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya saing.
“Saya percaya semangat perpaduan yang kita tanamkan dalam kehidupan harian ini merupakan cerminan dari nilai Kristus yang kita sambut hari ini,” katanya.
Beliau memberitahu akan sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh komuniti di kawasan Dudong yang sentiasa menyokong dan memberi kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Bintulu itu mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sambutan yang penuh bermakna dengan aktivitinya bukan sahaja dapat mengukuhkan ikatan spiritual, tetapi juga mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Saya berharap perayaan ini akan memberi inspirasi kepada semua untuk terus membawa nilai kasih dan kedamaian, tidak hanya pada Krismas, tetapi juga sepanjang tahun,” kata beliau.
Turut hadir, Pengerusi Gereja BEM Kalvari Sibu Jaya, Ikau Nyelang.
Oleh Akun Giman