
SIBU: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Kumpulan Rimbunan Hijau (RH) yang akan diadakan pada 12 Mei ini di Dataran Tun Tuanku Bujang, Sibu.
Pengarah Urusan Kumpulan Rimbunan Hijau, Datuk Tiong Thai King berkata, pelbagai acara menarik telah disusun bersempena sambutan Jubli Emas tersebut, termasuk Malam Penghargaan dan Perayaan yang dijadual berlangsung pada 6.30 petang.
Menurut beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, akan hadir selaku tetamu kehormat bagi memeriahkan acara berkenaan.
“Malam tersebut bakal menampilkan persembahan dron membabitkan 330 unit yang diikuti pertunjukan bunga api rekaan khas sekitar 12 minit,” katanya pada sidang media di Menara Rimbunan Hijau, hari ini.
Tambah beliau, acara itu turut diserikan dengan persembahan khas oleh penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah.
Bagi menggalakkan penyertaan orang awam, Kumpulan RH turut menganjurkan Pertandingan Fotografi dan Videografi Persembahan Dron dan Bunga Api Muzikal Jubli Emas Kumpulan RH 2025.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut mengenai sambutan itu, Tiong berkata, ulang tahun ke-50 merupakan detik bermakna buat Kumpulan RH yang telah berkembang daripada akar umbi di Sibu ke persada antarabangsa dalam pelbagai bidang perniagaan.
“Pengasas Kumpulan RH, abang sulung saya, Tan Sri Sir Tiong Hiew King, telah meletakkan asas yang kukuh. Walaupun menempuh pelbagai cabaran, kejayaan hari ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga RH,” katanya.
Menurut beliau lagi, sambutan tersebut bukan sahaja menghargai jasa kakitangan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk turut serta meraikan kejayaan bersama.
“Terima kasih kepada rakyat Sibu yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada kami. Ia amat bermakna,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada sambutan, Kumpulan RH turut mengumumkan pelaksanaan projek pengubahsuaian berskala besar bagi Menara Rimbunan Hijau, termasuk pelancaran reka bentuk baharu fasad dan dalaman menara itu pada 13 Mei, yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada sebelah malam, majlis Makan Malam Gala Jubli Emas akan diadakan di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), turut dihadiri Premier Sarawak sebagai tetamu kehormat.
Sambutan Jubli Emas Kumpulan RH turut disemarakkan dengan Kejohanan Golf pada 10 dan 12 Mei yang mendapat tajaan daripada enam penaja utama serta menawarkan hadiah ‘hole-in-one’ bernilai RM2.6 juta – antara tertinggi di Malaysia.
Sementara itu, Larian Separuh Marathon pada 4 Mei menarik penyertaan 3,044 pelari tempatan dan antarabangsa.
Acara itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
“Kami amat bersyukur atas segala restu dan sokongan yang diterima sepanjang penganjuran acara ini.
“Semoga Kumpulan RH terus maju dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sibu, Sarawak dan Malaysia,” kata Tiong.
Oleh Tarani Lanting