PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan tetap dijayakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana negara masih berperang dengan pandemik Covid-19, kata Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, segala persiapan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini telah dirancang sebaik mungkin, bagi memastikan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sambutan pada tahun ini diadakan secara fizikal namun jumlah peserta dan tetamu, dihadkan seperti hanya 50 orang tetamu sahaja dibenarkan hadir tanpa sebarang penonton di lapangan.
“Dari segi persembahan juga dihadkan maksima 400 orang kesemua sekali. Tetapi persembahan secara bergilir-gilir supaya pada setiap satu masa jumlahnya tidak melebihi 100 orang melakukan persembahan, dan dapat mematuhi penjarakan fizikal,” katanya kepada media hari ini selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di sini.
“Saya berpuas hati dengan segala persiapan, terutama sekali dari segi susunan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dengan tahun lalu,” katanya, serta menambah sambutan tahun ini boleh ditonton melalui kaca televisyen, dengan pelbagai input dan program yang telah disediakan. — Bernama