
SIMUNJAN: Sambutan Aidiladha di Daerah Simunjan berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna apabila Masjid Darul Hijrah dipenuhi oleh umat Islam yang hadir seawal 7.30 pagi untuk bersama-sama bertakbir, memuji kebesaran Allah S.W.T serta menunaikan Solat Sunat Aidiladha.
Solat sunat tersebut telah diimamkan oleh Imam 2 Masjid Darul Hijrah, Awang Sumaini Awang Juli dan disusuli dengan khutbah Aidiladha yang menyentuh mengenai nilai pengorbanan, keikhlasan dalam ibadah serta pentingnya perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Kemeriahan sambutan turut diserikan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat daripada kampung-kampung sekitar yang menunjukkan semangat kebersamaan dan penghayatan mendalam terhadap erti sebenar Aidiladha.
Kehadiran jemaah yang mencecah lebih 500 orang turut menyerlahkan suasana harmoni dan penuh kesyukuran.
Sejurus selesai solat, program akan diteruskan dengan pelaksanaan ibadah korban yang dikendalikan oleh beberapa buah perkampungan Melayu di sekitar Simunjan.
Aktiviti ini dilaksanakan secara teratur dengan kerjasama masyarakat setempat dan daging korban akan diagihkan kepada golongan asnaf serta penduduk kampung yang memerlukan.
Sambutan Aidiladha kali ini bukan sahaja melambangkan ketaatan kepada perintah Allah S.W.T malah menjadi medium pengukuhan silaturahim dan semangat gotong-royong dalam kalangan komuniti.
Ia juga memperlihatkan komitmen bersama dalam memartabatkan syiar Islam di peringkat daerah. –UKAS