KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd, yang mencatatkan keputusan yang lebih rendah dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2020, selepas banyak projeknya terpaksa dihentikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah menyambung semula operasi pembinaan.
“Ini dibuat selepas kesemua kakitangan di tapak pembinaannya diperiksa dengan ujian Covid-19 seperti yang dikehendaki oleh kerajaan,” kata kumpulan pengurusan pembinaan dan kemudahan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Gagasan Nadi Cergas mengumumkan keuntungan bersihnya merosot 36 peratus dari tahun ke tahun kepada RM3.95 juta bagi suku pertama 2020 manakala perolehan menyusut kepada RM55.14 juta daripada RM68.89 juta, disebabkan oleh kemajuan projek pembinaan yang lebih rendah.
Syarikat senaraian Pasaran ACE itu berkata, ia mempunyai tempahan dalam tangan yang tidak dibilkan, yang agak positif sebanyak kira-kira RM459 juta pada 31 Mac, yang akan diiktiraf sehingga 2021.
Pengarah Urusan Kumpulan Wan Azman Wan Kamal berkata, model perniagaan bersifat segmen berkembar yang memberikan pendapatan berulang yang stabil daripada aset konsesi dan tempahan dalam tangan mampu membolehkan kumpulan mengekalkan kadar pertumbuhan dalam jangka masa panjang.
“Untuk tujuan ini, kami kekal komited untuk memasukkan Konsortium PAE sepakat Sdn Bhd (KPS) ke dalam kumpulan dan ini, seterusnya akan mengembangkan perniagaan konsesi kami,” katanya.
Pada Oktober tahun lepas, syarikat itu bercadang untuk mengambil alih KPS, pemegang konsesi asset asrama politeknik pada harga RM158 juta, tetapi tertangguh berikutan PKP. Bagaimanapun, syarikat itu dan vendornya telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh bersyarat perjanjian penjualan saham sehingga 28 Ogos depan.
Gagasan Nadi Cergas telah pun menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti untuk cadangan terbitan nota jangka sederhana Islam bernilai RM200 juta dan sukuk RM60 bagi membiayai pengambilalihan itu.
Syarikat sekarang ini sedang mendapatkan kelulusan daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk mengeluarkan pekeliling Mesyuarat Agung Luarbiasa bagi mendapatkan kelulusan daripada para pemegang sahamnya untuk cadangan langkah korporat berkenaan.
Cadangan kemasukan KPS akan membolehkan Gagasan Nadi Cergas akses kepada aliran tunai masa depan termasuk memperluaskan perkhidmatan pengurusan fasilitinya kepada aset konsesi KPS.
Kumpulan itu mempunyai beberapa projek pembinaan yang sedang berjalan seperti pusat kardiologi untuk Hospital Serdang di Selangor, Maktab Rendah Sains MARA di Bagan Datuk, Perak; Rumah Perbadanan PR1MA Malaysia Pasir Mas (Fasa 1) di Kelantan, Rumah Selangorku Putra Heights dan Bukit Raja di Selangor serta pembangunan kediaman awam di Putrajaya.
Kumpulan juga sedang memajukan projek pembangunan hartanahnya sendiri iaitu Antara Residence di Putrajaya dan skim perumahan penjawat awam Selangorku di Selindung Ulu Yam, Selangor. – Bernama