PRESIDEN Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Awang Mahyan Awang Mohamed memberitahu, pihaknya menunggu arahan daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) sebelum dalam melaksanakan tindakan susulan berhubung status latihan kepada atlet skuad boling padang Sukma Sarawak.
Menurut Mahyan, perkara tersebut tidak boleh dilaksana dengan tergesa-gesa kerana perlu menunggu perkeliling daripada badan induk berkenaan.
“Kita menunggu arahan serta perkeliling daripada MSNS sebelum dapat membuat keputusan untuk memulakan sesi latihan.
“Apa yang penting ianya perlu mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKM),” jelas Mahyan ketika mengulas mengenai perkara itu.
Beliau memberitahu, tiada masalah bagi atlet sedia ada untuk mengikuti SOP berkenaan apabila memulakan sesi latihan sebenar kelak.
Tegas Mahyan, apa yang penting sekarang fokus pemain skuad terbabit terarah kepada serampang dua mata.
Selain memastikan persiapan untuk menghadapi temasya berprestij negara (SUKMA XX Johor) yang dijadual berlangsung 4 hingga 16 Mac 2021.
Pada masa sama sentiasa mengutamakan keselamatan diri dengan melakukan saringan suhu badan, memastikan penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan.