KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, 71, tidak gentar berdepan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien, 43, dalam usahanya untuk merampas kembali kerusi Parlimen Julau.
Beliau yakin untuk mengembalikan kerusi ‘panas’ itu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November nanti.
“Namun, ia hanya akan dapat dicapai dengan kerjasama semua jentera GPS yang terdiri daripada empat parti komponen.
“Saya sentiasa berada di Julau walaupun tewas pada 2018 kerana saya mahu sentiasa dekat dengan penduduk di kawasan itu dan dalam tempoh kempen ini saya akan melipat gandakan usaha bagi meraih sokongan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Salang tewas kepada Larry Sng yang ketika itu bertanding sebagai calon Bebas dengan majoriti 1,931 undi.
Salang menghargai dan berterima kasih keopada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab merampas semula kerusi Parlimen Julau.
“Ini penghormatan tinggi kepada PRS dan juga kepada saya selaku presiden parti itu,” katanya.
Pertembungan Salang dan Larry Sng dilihat sebagai ‘buku bertemu ruas’ . Julau adalah antara 12 kerusi Parlimen yang dianggap ‘panas’ pada PRU-15 di Sarawak.
Dua lagi calon turut bersaing di Julau iaitu Susan George dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), dan calon Bebas, Elly Lawai Ngalai.
Sebelum ini Joseph Salang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Luar dan Timbalan Menteri Penerangan , Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.
Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 2013, beliau menolak tawaran untuk jawatan Timbalan Menteri.
April lalu, Joseph Salang secara rasmi mengambil alih jawatan Presiden PRS berikutan kematian Tan Sri Dr James Masing pada 30 Oktober tahun lalu.
Asalnya, beliau adalah ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan pernah menjadi Ahli Parlimen tanpa parti apabila PBDS dibubarkan pada 2004.
Beliau kemudiannya menyertai PRS sebelum pilihan raya umum 2008.