
SIBU: Safari Rakit Selangau menjadi acara utama Karnival Selangau 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Oktober ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Wong Ching Yong berkata acara ini yang dianjurkan dengan kerjasama Grit Event Management.
Katanya, acara ini melibatkan pelayaran sejauh 21 kilometer (km) dari Rumah (Rh) Empera di Sungai Wong, Ulu Mukah ke Tebingan Selangau.
“Cabaran berakit ini dijangka mengambil masa lebih kurang jam menyelusuri sungai,” katanya pada sidang media penganjuran karnival tersebut di bilik mesyuarat MDLBS, hari ini.
Katanya, acara lain termasuk pembukaan gerai jualan di tapak karnival Pasar Baru, pekan Selangau. Turut diadakan ialah pentas hiburan ‘Main Adat Asal Iban’ dan majlis perasmian Karnival Selangau 2025.
“Di samping itu, senaman zumba, bengkel pemasaran digital dan perasmian pertandingan akhir karaoke pada 25 Ogos,” jelasnya.
Beliau memberitahu, MDLBS telah menerima Geran Sokongan Utama daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan tahun ini.
“Sokongan ini membolehkan penganjuran karnival ini dilaksanakan dengan lebih meriah dan berimpak tinggi kepada komuniti setempat.
“Karnival ini bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi tempatan serta memberi peluang kepada penduduk Daerah Selangau untuk menjana pendapatan melalui penyertaan dalam gerai jualan yang disediakan untuk disewa oleh peniaga tempatan,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman