BELAGA: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) diyakini akan terus relevan dalam memperjuangkan nasib golongan belia di negeri ini.
Naib Presidennya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, walaupun berusia hampir 50 tahun, Saberkas kekal sebagai wadah penyatuan belia pelbagai kaum.
Sehubungan itu menurutnya, untuk memastikan Saberkas terus menjadi pilihan belia, setiap aktiviti yang dianjurkan perlu bersesuaian dengan kehendak semasa belia.
“Kita boleh adakan apa sahaja aktiviti untuk belia namun ia perlu mengikut minat dan bersesuaian dengan kehendak mereka.
“Ia penting untuk memastikan Saberkas terus kekal relevan dan menjadi pilihan belia,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung TriTahunan Saberkas Cawangan Belaga, semalam.
Dr Abdul Rahman turut melahirkan rasa bangga dengan kemampuan Saberkas peringkat cawangan yang berjaya menganjurkan mesyuarat agung tritahunan walaupun berdepan dengan pendemik Covid-19.
“Walaupun pelbagai prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi namun ia tidak menghalang mesyuarat agung tritahunan diadakan,” ujarnya.
Malah katanya, Saberkas sejak daripada penubuhannya juga telah berjaya melahirkan ramai pemimpin berkaliber.
“Ramai pemimpin yang lahir dari Saberkas kini memegang jawatan penting peringkat negeri dan persekutuan.
“Saya yakin Saberkas akan terus melahirkan lebih ramai pemimpin pada masa akan datang,” jelasnya.
Hadir sama Pengerusi Saberkas Cawangan Belaga, Datuk Liwan Lagang.