BEKENU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Bekenu mempunyai barisan baharu dengan ramai belia dilantik dalam jawatankuasa pada Mesyuarat Tri Tahunan Saberkas Cawangan Bekenu semalam.
Mahmud Sanai salah seorang kakitangan Majlis Daerah Subis (MDS) telah dipilih menjadi Pengerusi Saberkas Cawangan Bekenu yang baharu.
Pemilihan itu telah disaksikan oleh Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Penaung Saberkas Bekenu, Rosey Yunus dan Exco Saberkas Sarawak Mohammad Yusuf di sebuah hotel di Miri semalam.
Timbalan Pengerusi Satu ialah Segiong Bakar dan Timbalan Pengerusi Dua ialah Abu Syam Sawal.
Manakala, jawatan Setiausaha ialah Roslind Gunong dengan dua penolongnya iaitu Jamiah Yadi dan Mahrum Masleh.
Bendahari ialah Serina Salleh dan enam Ahli Jawatankuasa (AJK) iaitu Sharbini Salleh, Yusri Ali, Arbi Jukin, David John, Shariel Afifi dan Yong Giin Jiun.
Pada majlis perasmian Mesyuarat Tri Tahunan tersebut, Rosey Yunus berkata, Saberkas Bekenu merupakan platfom yang terbaik untuk para belia bergerak dalam plebagai aktiviti kemasyarakat.
Katanya, Saberkas Bekenu dalam beberapa tahun yang lalu telah berjaya mengadakan pelbagai aktiviti dan mendapatkan sambutan serta galakan masyarakat kawasan.
“Diharapkan Saberkas Bekenu akan dan berusaha mencari penyertaan keahlian baharu dengan lebih ramai lagi para belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.
“Impian kita di Saberkas ini ialah untuk membawa belia lebih berjaya dalam semua perkara sekali gus membantu belia supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 11 unit Saberkas Bekenu yang telah berjaya melakukan pelbagai aktiviti secara kerjasama dan berganding bahu di antara unit-unit Saberkas berkenaan.
Rosey Yunus yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menyumbang geran peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sejumlah RM50 ribu kepada Saberkas Bekenu untuk melakukan aktiviti kawasan pada masa akan datang.
Oleh Adum Liu