RAUB: Bangsal kayu di halaman rumah menjadi ‘medan pengeluaran’ buat keluarga Ruzaimah Busu untuk menghasilkan buah kabung yang mendapat permintaan tinggi setiap kali Ramadan.
Ruzaimah, 37, berkata mereka akan mula berada di bangsal itu seawal pukul 8 pagi dan pernah terpaksa bersengkang mata sehingga pukul 4 pagi bagi memenuhi permintaan pembeli yang terlalu banyak.
“Prosesnya mengambil masa kerana buah kabung perlu direbus sehingga sejam. Jika tidak dimasak betul, buah kabung sukar dikopek bagi mengeluarkan isi yang berwarna putih dengan tekstur seakan-akan agar-agar selain gatalnya tidak hilang.
Buah ini digunakan dalam minuman sejuk, air batu campur atau boleh dimasak sebagai bubur. Bagi orang lama, buah kabung juga sering dikeringkan untuk dijadikan halwa,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pampong di sini, semalam.
Ruzaimah berkata tugas mencari buah dilakukan suaminya Mohd Fazly Baharom, 39, yang perlu memanjat pokok kabung yang tumbuh secara liar di kebun atau kawasan hutan dengan ketinggiannya boleh mencecah ketinggian sehingga lebih sembilan meter bagi memotong tandan buah.
Katanya, setiap tandan boleh mempunyai 10 tangkai dengan setiap satunya mempunyai kira-kira 50 biji buah dan lazimnya mereka perlu mengambil tandan baharu setiap tiga ke empat hari bagi memenuhi permintaan yang boleh mencecah 10 kilogram sehari.
“Permintaan selalu tinggi pada awal puasa dan semakin hampir hari raya, semakin kurang pembeli. Kami menjual dua jenis buah kabung iaitu yang mentah dan siap dimasak dengan sirap bergula yang sedia diminum selepas ditambah air batu.
Proses mengopek juga perlu dilakukan segera kerana kulitnya akan liat apabila sejuk. Sebiji buah kabung boleh mengandungi antara tiga ke empat ulas buah dan perlu direndam dalam air bagi mengelakkan ia rosak selepas dikopek,” katanya.
Ibu kepada empat orang anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun itu menambah buah kabung yang direndam boleh bertahan sehingga tiga hari, asalkan ‘rajin menukar air’ supaya buah tidak menjadi lembik dan masam.
Kemahiran memproses buah kabung itu, menurut Ruzaimah dipelajari semasa membantu pengusaha lain sebelum ini dan beliau mula serius menghasilkannya sendiri sejak tiga tahun lalu apabila mendapati tidak ramai orang menjualnya walaupun permintaan sentiasa ada semasa Ramadan.
“Selalunya kami menjual di tepi jalan besar Raub untuk mencari pendapatan lebih bagi persediaan raya. Untuk tahun ini, kami hanya menjual secara tunai semasa serahan (COD) disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Alhamdulillah, ada juga rezeki kami terutamanya suami yang bekerja sebagai tukang kebun tidak boleh bekerja ekoran PKP menyebabkan kami lebih rancak memproses buah kabung untuk dijadikan belanja harian,” katanya.
Ruzaimah berkata antara hikmah PKP ialah beliau mempunyai ‘tenaga’ yang cukup untuk memproses lebih banyak buah kabung kerana dibantu tiga anak yang tidak ke sekolah membolehkan beliau ‘berani’ mengambil tempahan lebih banyak.- Bernama