BALINGIAN: Sebuah rumah kayu milik pesara polis di Kampung Lintang di sini musnah dalam satu kebakaran malam tadi.
Pesara terbabit yang juga bekas ketua kaum tiada di rumah ketika kejadian.
Sebaliknya, isteri beliau sempat menyelamatkan diri apabila berjaya keluar melalui pintu hadapan kerana kebakaran bermula di bahagian dapur, di ruang belakang rumah.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata pihaknya menerima laporan pada jam 7.40 malam.
“Sejurus menerima laporan, seorang pegawai dan dua anggota dari Balai Polis Balingian pergi ke tempat kejadian dan mendapati rumah tersebut telah terbakar,” katanya.
Pihak Bomba dan Penyelamat Mukah bersama Bomba Sukarelawan Balingian dan dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan, hanya melibatkan kemusnahan rumah, dan harta benda lain yang masih belum dipastikan.
“Mangsa kebakaran dinasihati datang ke Balai Polis Balingian untuk membuat laporan rasmi. Buat sementara ini, mangsa menginap di rumah anak saudara di kampung yang sama.
“Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti dan akan disiasat oleh pihak Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah,” katanya.
Oleh Henry b Siyu