
BINTULU: Rumah panjang di pedalaman Belaga bakal bertukar menjadi ‘dewan ilmu terbuka’ apabila Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) menganjurkan Persidangan iRandau 2025 pada 2 hingga 4 Julai ini.
Berbeza daripada persidangan akademik lazim yang berlangsung dalam bilik berhawa dingin, iRandau membawa peserta merasai pengalaman sebenar dalam komuniti luar bandar dengan budaya sebagai landasan utama perbincangan.
Pengarah UPMKB, Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini berkata, pendekatan lapangan seumpama itu memberi ruang kepada penglibatan dua hala yang lebih bermakna antara ilmuwan dan komuniti tempatan.
“iRandau membawa konsep ‘randau’ iaitu bentuk komunikasi santai tetapi sarat makna yang sudah sekian lama diamalkan oleh masyarakat etnik di Sarawak.
“Berbeza dengan persidangan konvensional di dewan berhawa dingin, iRandau membawa ilmu terus ke akar budaya.
“Rumah panjang menjadi medan utama ilmu dikongsi dan diwariskan secara langsung dalam suasana penuh hormat dan keterbukaan,” katanya pada majlis Pelancaran Awal iRandau 2025 di UPMKB di sini, semalam.
Menurutnya, kesinambungan sejak edisi pertama menunjukkan pendekatan berasaskan komuniti semakin diterima sebagai kaedah efektif menangani isu dan cabaran semasa.
Bertemakan ‘Bridging Gaps, Fostering Sustainability’, edisi ketiga kali ini menyasarkan pengukuhan jalinan kerjasama rentas sektor serta memperkasa nilai kelestarian budaya dan ilmu.
Majlis pelancaran turut menyaksikan pelancaran identiti visual rasmi, pelan aktiviti dan kit iRandau yang bakal menjadi antara tarikan utama sepanjang program berlangsung.
Sementara itu, Pengerusi iRandau 2025, Dr. Nurul Hidayu Mat Jusoh berkata, pelbagai aktiviti interaktif telah disusun, antaranya, sesi randau bersama komuniti, demonstrasi warisan Orang Ulu, aktiviti STEM untuk pelajar, sukan rakyat serta penglibatan peserta dalam kehidupan harian penduduk kampung.
Persidangan itu turut disokong oleh Konsortium Universiti Universitas Borneo, Pusat Belia Antarabangsa, Fakulti Ekologi Manusia dan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta Jabatan Penerangan Sarawak.
Mereka yang berminat untuk menyertai iRandau 2025 boleh mendaftar menerusi laman rasmi irandau2025.upm.edu.my sebelum 31 Mei ini.
Oleh Carolyne Utih