
PUSA: Sebuah rumah tidak kekal di Kampung Tuie dekat sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran tengah hari tadi, manakala dua lagi rumah bersebelahan turut mengalami kerosakan kecil akibat bahang dan api yang merebak.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.09 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 50 kilometer.
Pasukan Keluaran Operasi yang diketuai Prangka Kudang tiba di lokasi pada jam 2.00 petang dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan sekitar 50 x 50 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.

Kebakaran itu turut menjejaskan dua rumah bersebelahan, masing-masing terbakar sebanyak lima dan tujuh peratus.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan. Penghuni rumah yang terlibat dikenali sebagai Sa’adiah @ Saadiah Dol, 63, dilaporkan selamat.
Operasi di lokasi turut dipantau Ketua Balai BBP Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi.
Pihak bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 400 kaki hos, satu nozel dan satu pam angkut dengan sumber air diperoleh daripada tong simpanan air penduduk kampung.

Laluan ke lokasi yang tidak dapat dilalui jentera memaksa anggota menggunakan kenderaan utiliti pacuan empat roda untuk membawa peralatan operasi.
Operasi berjaya dikawal pada jam 2.58 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.10 petang selepas kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut selesai.
Turut berada di lokasi ialah PDRM, SESCO, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.
Oleh Adi Safarman