
BINTANGOR: Dua rumah panjang di sini bakal menikmati kemudahan jalan dan lantai konkrit baharu menerusi Program Mesra Rakyat (PMR) 2025.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata Rumah Kam Gaing di Sungai Mador akan dilengkapi lantai konkrit di bahagian bawah rumah panjang.
Sementara itu, Rumah Musa di Jalan Chai Hing bakal memiliki laluan konkrit baharu untuk memudahkan perhubungan penduduk.
“Pembangunan infrastruktur luar bandar kekal menjadi fokus utama saya.
“Harapan saya agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dengan kualiti terbaik, sekali gus memberi impak positif kepada kehidupan seharian masyarakat di Rumah Kam Gaing dan Rumah Musa,” katanya ketika dihubungi.
Tiong Sii percaya bahawa projek ini bukan sahaja memudahkan mobiliti penduduk, tetapi turut meningkatkan kesejahteraan hidup serta merangsang aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat.
Semalam, beliau diwakili oleh Wong Soon Mee bersama turun padang meninjau lokasi projek dan menyaksikan penyerahan tapak PMR kepada kontraktor.
Turut hadir Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarikei, Husaini Ahie dan Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman, Nina Azirina.
Oleh Earl Anek