MARUDI: Sebuah rumah di jalan utama Kampung Pemindahan yang dihiasi Jalur Gemilang dan bendera kerajaan negeri Sarawak mencuri tumpuan orang ramai apabila melalui jalan tersebut.
Pemilik rumah berkenaan, Haji Mohd Zulkifli Bin Haji Tready, 72, berkata, stiap kali menjelang sambutan Hari Kemerdekaan dirinya pastinya teruja untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak untuk menceriakan laman rumah sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
“Inilah yang dapat saya lakukan untuk menunjukkan rasa sayangkan Negara meskipun mengeluarkan modal dan kos sendiri namun saya bangga dapat menghiasi laman rumah dengan idea sendiri,” katanya.
Tegas Zulkifli ketika ditemui Utusan Sarawak, ini juga salah satu usaha untuk menanamkan semangat patriotik bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung malah orang yang berkunjung ke kampung ini.
Menurut Zulkifli, pada sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, beliau berbelanja lebih RM200 untuk membeli Jalur Gemilang dan bendera Sarawak dan pada masa yang sama beliau turut menyertai pertandingan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan 2020 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselmatan Kampung (JKKK) Kampung Pemindahan Melayu dan anjuran Majlis Daerah Marudi (MDM).
Tambah Zulkifli, sejak tahun 2004 lagi dia tidak melepaskan peluang menghiasi rumah dengan lebih 100 Jalur Gemilang dan bendera-bendera lain setiap kali menjelang 31 Ogos biarpun terpaksa mengeluarkan modal sendiri terutama untuk menggantikan bendera yang sudah lusuk.
Oleh Jiku Juguong