
KUCHING: Sebuah rumah jenis berkembar (semi-d) satu tingkat musnah hampir keseluruhan dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Lee Ling, Matang, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada 4.53 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur kekal berkeluasan kira-kira 30×60 kaki persegi yang sedang terbakar hampir 100 peratus,” katanya.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dan tiga nozel dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut. Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.